Full Width CSS

Rupenye Anwar Ibrahim Juga

Tuduhan wujudnya unsur rasuah dalam pemberian kontrak kapal peronda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kepada PSC Naval Dockyard oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datin Seri Dr, Wan Azizah Wan Ismail mengundang padah apabila Dewan Rakyat diberitahu Menteri Kewangan yang meluluskan penswastaan projek berkenaan kepada syarikat itu ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Setahu saya Menteri Kewangan pada masa itu ialah penasihat Parti Keadilan Rakyat. Saya tidak mahu menyalahkannya, tetapi mungkin ada sesuatu yang luar dari jangkaannya. Maknanya janganlah salah semua orang. Kita juga sedikit sebanyak ada kelemahan juga,” kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong hari Rabu bagi pihak Kementerian Pertahanan berhubung dengan dakwaan wujudnya amalan rasuah dalam kontrak perolehan 27 buah kapal peronda TLDM oleh Dr. Wan Azizah.

Berdasarkan penjelasan yang diberikan oleh Najib, kontrak perolehan 27 buah kapal itu diberikan kepada PSC Naval Dockyard pada 11 Disember 1995 untuk tempoh 15 tahun.

Menurut perjanjian, syarikat berkenaan diberi kontrak penyelenggaraan kapal dan perkakasan TLDM di samping mereka bentuk dan membina 27 buah kapal ronda generasi baru.

Di bawah kontrak awal, kerajaan membuat tempahan enam buah kapal pronda dengan nilai kontrak sebanyak RM5.35 bilion tetapi kontrak dengan PSC dibatalkan pada tahun 2006 apabila gagal memenuhi syarat kontrak dan hanya dua buah kapal sahaja yang hampir disiapkan pada tahun 2006.

Kesannya bagi memastikan enam buah kapal tersebut dapat diteruskan pembinaannya, kerajaan telah melantik Lembaga tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengambil alih syarikat PSC dan nilai kontrak terpaksa dinaikkan kepada RM6.75 bilion ekoran peningkatan kos.

Pada tahap ini, Dr. Wan Azizah bangun bertanya apakah kriteria untuk memilih syarikat yang hendak diberikan kontrak itu pada awalnya.

Bingkas bangun sebelum Najib menjawab Ahli Palrimen Pontian, Ahmad Maslan yang menyatakan soalan Dr. Wan Azizah tidak ada kaitan.

“Tadi yang Amat Berhormat menyatakan bahawa penswastaan PSC Naval Dockyard diluluskan pada 11 Disember 1995. Kita tahu bahawa tidak ada satu penswastaan pun di Malaysia ini tanpa kelulusan daripada Perbendaharaan dan Kementerian Kewangan, Saya ingin tanya soalan pendek sahaja, siapakah Menteri Kewangan pada ketika itu,” tanyanya.

Ekoran soalan itu beberapa Ahli Parlimen BN kedengaran berkata “jawab…jawab”.

Maka, Najib menjawab “Setahu saya Menteri Kewangan pada ketika itu ialah penasihat Parti Keadilan Rakyat”.

Dalam penggulunggannya juga Najib menjelaskan semua tuduhan yang dikaitkan dengan amalam rasuah dalam pembelian kapal selam oleh TLDM dan jet pejuang Sukhoi oleh TUDM.

Najib juga pada kesempatan itu turut menyentuh mengenai cubaan mengaitkan dirinya dengan kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shariibu.

“Alhamdulillah saya masih dapat bertahan dengan segala tohmahan dan fitnah yang cuba dilemparkan, dengan niat untuk mencemarkan nama saya.

“Sebagai seorang warganegara yang bertanggungjawab dan demi menegakkan keadilan dan kebenaran, maka saya ingin sekali lagi menegaskan bahawa saya tidak pernah mengenali apatah lagi berjumpa dengan wanita yang dimaksudkan dalam kes ini,” tegasnya.

Sumber Agenda Daily

Post a Comment

0 Comments