Full Width CSS

PM Ajak Bersatu Menjaga Aset Negara

Kekayaan dan aset negara yang dikumpulkan selama ini akan terhakis jika semua pihak enggan bekerjasama untuk menjaga kestabilan dan kepastian politik. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata tanpa kestabilan politik, negara akan berhadapan ancaman terutama terhadap kekayaan dan aset yang selama ini memberi manfaat kepada semua.


Sehubungan itu, usaha perlu diperhebatkan untuk mengubah senario perniagaan dan keyakinan terhadap pasaran negara supaya dapat bertahan dan mengharungi suasana ekonomi global yang tidak menentu.

“Kita sudah bekerja keras mengumpul aset dan kekayaan tetapi ia boleh merosot jika tidak bekerjasama untuk memastikan kestabilan dan ketidakpastian politik,” katanya pada Mesyuarat Agung Tahunan Ke-66 Gabungan Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di sini, semalam.

Hadir sama Presiden ACCCIM, Tan Sri William Cheng Heng Jem; timbalannya, Datuk Lim Kok Cheong dan Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Datuk Ter Leong Yap.



Kita sudah bekerja keras mengumpul aset dan kekayaan tetapi ia boleh merosot jika tidak bekerjasama untuk memastikan kestabilan dan ketidakpastian politik. - Datuk Seri Najib Razak


Perdana Menteri berkata, pada masa sama, kestabilan dan kepastian politik tetap menjadi faktor utama bagi meningkatkan keyakinan pelabur dalam perniagaan dan pasaran domestik. Katanya, krisis ekonomi Barat hingga mengakibatkan kelembapan ekonomi Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah serta ketidakstabilan dan ketidakpastian politik yang memberi impak kepada Afrika Utara, harus dijadikan iktibar.

“Sebarang unsur ketidakstabilan atau ketidakpastian boleh membawa risiko perniagaan yang lebih besar, mengurangkan pelaburan langsung asing dan menjatuhkan nilai saham jatuh. 

“Malah, kita perlu berusaha bersungguh-sungguh bagi mengukuhkan daya saing produk dan perkhidmatan, selain meraih peluang baru di pasaran bukan tradisi bagi mengekalkan prestasi eksport,” katanya. 

Najib juga meletakkan sektor swasta pada kedudukan penting untuk memastikan daya tahan negara diperkukuhkan bagi menghadapi cabaran dan perubahan dalam ekonomi global.

Katanya, penyertaan mereka penting bukan saja bagi membolehkan Malaysia meneruskan transformasi, malah memastikan perubahan sebenar dilaksanakan. 

Sementara itu, Heng Jem yang menamatkan tempoh perkhidmatannya selepas sembilan tahun menerajui ACCCIM, mahu kerajaan memastikan kadar gaji minimum yang munasabah dan tidak membebankan majikan hingga mengakibatkan syarikat ditutup.

Katanya, kajian lebih menyeluruh perlu, selain melaksanakan keputusan itu secara berperingkat bagi mengurangkan kesan kepada kerajaan serta sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Beliau juga berkata, peningkatan kos pengeluaran diberi perhatian serius di dalam kalangan pelabur asing yang berminat dengan Program Transformasi Ekonomi yang dirangka kerajaan.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan dan Tenaga Nasional Berhad perlu memikirkan langkah terbaik mengurangkan kos menjana tenaga elektrik, selain harga gas untuk menyokong industri tempatan.

Beliau juga berpendapat, peruntukan sebanyak RM20 bilion untuk makanan dapat dikurangkan jika kerajaan meningkatkan penggunaan tanah untuk pertanian dan penternakan kerana setakat ini hanya 2.8 juta hektar tanah digunakan daripada 6.7 juta hektar untuk tujuan itu. - Berita Harian

Twitter : @REZQEENHILL 
BBM : 23C29857 
Email : reezqeenos@gmail.com  

Post a Comment

0 Comments