Full Width CSS

Sekali Bah, PAS Berubah²

Dua malam sudah, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub semasa berceramah di Marang Terengganu dengan yakin mengwar-warkan pada penyokong PAS kononnya dalam PRU 13 kelak pakatan pembangkang berpeluang menguasai beberapa kerusi parlimen di Johor sebagai bekalan untuk ke Putrajaya.

PAS
Kata Salahuddin, “Di Johor, saya yakin PR boleh menang antara 10 dan 12 kerusi Parlimen. Kita (Pas) bagi dia (BN) ‘stroke’ di Johor. Pada PRU13, jika kita (PR) boleh runtuhkan setengah (kerusi BN) pun sudah boleh ke Putrajaya, Insya- Allah.”

Menurutnya lagi, “saya ditarbiahkan ulama kita (Pas) supaya berjuang dengan realiti dan bukan fantasi. Di Johor, berlaku kebangkitan rakyat. Sokongan orang Cina kepada Pas dan Pakatan Rakyat cukup baik sekarang ini.”

Ironinya, saat PAS begitu yakin mampu merealisasikan mimpi ke Putrajaya, majoriti rakyat Malaysia juga tidak lupa 13 tahun dulu PAS pernah mengikrarkan janjinya untuk menjual Putrajaya konon kerana pembangunannya oleh PM ketika itu, Tun Dr Mahathir adalah satu pembaziran wang rakyat.

Bagi kita yang waras akalnya dan faham sedikit sebanyak susur galur sejarah politik tanahair tentu gelihati membaca kenyataan Salahuddin itu yang saling bertentangan dengan kenyataan bekas Presiden PAS, Allahyarham Fadhil Noor. Bagi kita, perkara sebegini bukanlah luar biasa kerana itulah sikap sebenar PAS sejak sekian lama.

Demikian juga selepas keputusan PRU 1999 diketahui, kita maklum PAS secara terbuka pernah memperlekehkan kemenangan BN kerana dikatakan hanya kerana sokongan majoriti besar orang Cina maka sebab itu PAS mendakwa UMNO sudah tidak lagi relevan dikalangan orang Melayu Islam.

Namun hari ini, PAS pula sedang bersuka ria meraikan kononnya menerima sokongan masyarakat Cina dan tidak segan pula mendabik dada yang mereka akan ke Putrajaya dengan hasil bantuan dan dokongan majoriti pengundi Cina sebagaimana dinyatakan oleh Salahuddin dua malam lepas.

Tanpa disedari, Salahuddin secara tersirat sebenarnya mengakui PAS kini sedang dilanda krisis kepercayaan dikalangan orang Melayu Islam, sesuatu yang sepatutnya tidak diraikan sebaliknya wajar ditangisinya kerana asas sokongan untuk PAS selama ini adalah orang Melayu Islam.

Perihal mimpi ke Putrajaya dan flip flop PAS melibatkan pendiriannya berkaitan pengundi keturunan Cina hanyalah sekelumit dari pelbagai kontradiks sepanjang 61 tahun PAS hidup di muka bumi ini.

Semenjak PAS dilahirkan dari ‘perut’ UMNO pada 1951 lagi, ia senantiasa berkecamuk dalam menentukan arah tujunya dan seringkali bertukar ganti dasarnya, semuanya dilakukan mengikut kepentingan politik semata-mata.

Saat mula PAS baru mengenal dunia politik, dasar juangnya lebih berorientasikan semangat kebangsaan Melayu Islam namun bila keMelayuannya gagal menandingi UMNO, maka PAS mula berpaling pada revolusi Iran sebagai teladan dan semangat kebangsaan mula dimomokkan dengan tuduhan assabiyah.


Tika PAS begitu komited mempertahankan fatwanya bahawa semangat kebangsaan itu adalah assabiyah, tika itulah PAS sedang seronok bekerjasama bersama PMS46 yang dasar dan polisi perjuangannya adalah semangat kebangsaan sama seperti yang UMNO dasari sejak sekian lama.

Lama sebelum itu, PAS pernah memfatwakan siapa sahaja menyokong kerjasama UMNO-MCA-MIC sebagai kufur kerana adalah haram menjadikan orang kafir sebagai pemimpin namun kini PAS cukup selesa bersama DAP, PSM dan PKR sekaligus soal mengangkat orang kafir sebagai pemimpin tidak lagi kedengaran.

Menjelang pilihanraya 1995, PAS juga pernah beria-ia menolak peranan kaum hawa sebagai calon pilihanraya mahupun sebagai pemimpin politik konon atas dasar mahu menghindari fitnah. Tika itu, Datuk Seri Rafidah Omar kerap menjadi belasahan PAS dek kerana isu orang perempuan tidak layak memimpin.

Sekalipun tika itu, beberapa calon S46 yang bekerjasama dengan PAS dalam Angkatan perpaduan Ummah (APU) adalah terdiri daripada kaum hawa misalnya Hajah Ilani Ishak yang bertanding di kerusi parlimen Kota Bharu , namun disebabkan Hajah Ilani adalah rakan sepakatan APU maka beliau terlepas dari kecaman.

Dan tidak lupa juga perihal PAS jugalah yang beria-ia membantu Wan Azizah untuk menang di Permatang Pauh diikuti beberapa tahun kemudiannya mula meletakkan calon perempuan di DUN dan Parlimen semasa pilihanraya 2004. Larangan orang perempuan tidak layak memimpin dan memagang jawatan dalam parti dan kerajaan sudah hilang sepoi-sepoi bahasa, kini bukan lagi isu bagi PAS.

Tiap kali PAS berubah sikap ia makin memperlihatkan betapa hodohnya perangai pemimpin PAS yang tidak tetap dasar, pendirian dan polisinya sama seperti sekali air bah, sekali pantai berubah. Pendek kata, PAS akan berubah-ubah polisi dan pendiriannya mengikut kemahuan politik kepartian dan bukannya demi rakyat mahupun untuk agama dan bangsa.

Post a Comment

1 Comments

  1. Kalau yakin menang diJohor kenapa dibagi tau kepada rakyat T'ganu..mereka tu mengundi kat Johor ke..Tpi apa yang nyata Din puduraya ni akan terus tenggelam dicampak kedalam laut di Johor

    ReplyDelete

komen² anda akan dipublish setelah disahkan..

terima kasih daun keladi..
esok² sudi la komen lagi..