Thursday, August 16, 2012

Antara Akhbar Melayu, Cina & Blog


Baru-baru ini sebelum Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berlepas ke Tanah Suci untuk menunaikan umrah, beliau telah mengadakan perbincangan dengan beberapa pengarang berita akhbar-akhbar Cina.

Mengakui tidak semua akhbar berbahasa Cina ditemuinya, Naib Presiden UMNO itu bagaimanapun menyuarakan nada positif.

"Saya melihat ada perubahan daripada akhbar-akhbar bukan Melayu (dalam) melaporkan berita yang benar kerana terdapat pengamal media yang dikategorikan muda yang merasakan pihak kerajaan tidak mengiktiraf ijazah mereka (semasa belajar dulu). Dan mereka meluahkan perasaan benci kepada kerajaan melalui tulisan mereka," kata menteri itu.

Wartawan-wartawan muda akhbar-akhbar Cina berkenaan, kata beliau, mula menyedari gaya tulisan mereka sehingga dikatakan telah menyebabkan akhbar masing-masing berat sebelah dalam melaporkan berita-berita kerajaan.

"Jiwa mereka muda, jiwa itu ada perasaan anti. Itu memang lumrah. Apabila wartawan senior menjelaskan, mereka mula berubah.

"(Ini barangkali disebabkan) ada kalangan mereka datang dari sistem pendidikan aliran Cina. Apabila belajar di peringkat tinggi, diploma mereka tidak diiktiraf, gaji mereka rendah, jadi mereka marah. Tetapi apabila (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib (Tun Razak) mengumumkan ijazah mereka diiktiraf, mereka mula merasakan kepedulian (kerajaan terhadap mereka) diambil kira. Dan (kini) mereka bukan sahaja seimbang tetapi melaporkan perkara yang benar," kata beliau lagi.

Ahmad Zahid merujuk kepada keputusan Perdana Menteri bulan lalu yang memberikan pengiktirafan kepada lebih 70 kursus diploma dan diploma lanjutan Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) berkuat kuasa serta-merta. Kursus-kursus itu yang mula ditawarkan sejak pertengahan tahun 1990-an sebelum ini tidak diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) kerana masalah teknikal sedangkan ia diterima baik di peringkat antarabangsa. Pengiktirafan itu akan membawa implikasi positif kepada semua yang terlibat khususnya KTAR sendiri dalam melahirkan lebih ramai modal insan berkualiti yang sangat diperlukan negara.

Malah bukan itu sahaja. Sebanyak 820 institusi pengajian tinggi (IPT) China telah diiktiraf Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sehingga kini. Ia diiktiraf melalui perjanjian rangka kerja bagi memudahkan pengiktirafan untuk kelayakan pendidikan tinggi akademik yang dimeterai antara kerajaan Malaysia dan republik berkenaan pada 28 April 2011.

Dalam memperkatakan mengenai corak pemberitaan semua akhbar termasuk akhbar- akhbar Melayu, Ahmad Zahid akur bahawa kesemua akhbar bergantung kepada pendapatan hasil iklan yang dimuatkan dalam keluaran masing-masing. Ia termasuk sisipan yang juga penting untuk mempuratakan kos pengeluaran.

"Pemegang saham terhadap sesebuah akhbar itu, sama ada mereka pemerintah atau kerajaan, mereka mempunyai tanggungjawab untuk membantu akhbar berkenaan.

"Umpamanya akhbar pembangkang, sahamnya dikuasai oleh parti berkenaan dan pengamal medianya terdiri daripada aktivis politik mereka. Mereka mencari jalan pendapatan sumber melalui sumber parti mereka.

"Kalau mereka mahu menjadi sebuah akhbar yang liberal kerana mahu pemberitaan sama rata, mereka perlu melaporkan pemberitaan yang sama adil. Tetapi pada masa yang sama, mereka memerlukan pendapatan dan iklan-iklan, jadi aspek ini dilihat melalui sudut komersil. Pertimbangan komersil ini menyebabkan mereka melakukan pendekatan pemberitaan agak bebeza. Dan mereka menyedari Perdana Menteri bersungguh-sungguh melakukan transformasi politik," katanya.

Ahmad Zahid yang kebetulan membuat kajian tentang peranan Utusan Malaysiadan Berita Harian dalam menterjemah manifesto Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum era Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad memberitahu, akhbar ini memainkan peranan yang cukup besar - yang sama besarnya yang dimainkan oleh akhbar saingannya itu.

"Terdapat akhbar Melayu arus perdana memainkan peranan yang cukup jelas di mana dari segi tradisinya akhbar Melayu ini telah menukar minda orang Melayu dan masyarakat majmuk.

"Namun ada juga akhbar Melayu yang memainkan peranan untuk menjaga kumpulan middle ground iaitu pemberitaan dan laporannya dibuat secara seimbang. Namun keseimbangan itu bertujuan semata-mata untuk memenuhi kehendak pasaran, bukan kerana ada agenda politik," kata beliau.

Kata Ahmad Zahid: "Tetapi Utusan dan Berita Harian, saya yakin bukan soal pengedaran tetapi agenda pertama adalah soal politik.

Terkadang-kala harga mahal terpaksa dibayar kerana corak pemberitaan itu melaporan tentang pihak kerajaan yang menyebabkan pengedaran itu menjadi menurun. Tetapi saya menghargai apa yang dilakukan oleh Utusan walaupun Utusan menghadapi banyak saman dan pengedaran menurun, sekali gus menyebabkan dari segi iklan berkurangan.

"Dalam hal ini, saya merasakan peranan Utusan mesti dikembalikan kepada peranan asalnya. Walaupun media sosial telah mengambil peranan baru dalam mengubah acuan pemikiran rakyat, namun saya fikir langkah mengekalkan kaedah konvensional mesti diperkuatkan dengan melipatkangandakan melalui pemberitaan saluran online dan media sosial di bawah naungan Utusan."

Beliau melihat usaha melalui pemberitaan itu iaitu online telah berjalan tetapi akhbar ini mungkin memperolehi dua kali ganda sahaja audien melalui kaedah konvensional . Tetapi, ia dapat dikaligandakan dalam bentuk beberapa media perdana bahasa lain di mana lima kali ganda atau 10 kali ganda pembaca online berbanding konvensional itu harus diteruskan.

"Dan saya fikir kredibiliti akhbar ini sebagai sebuah media yang memberikan laporan yang diangggap berat sebelah yang menyebelahi kerajaan akan terhapus dengan sendirinya apabila berita yang credible ada pada laporan dan berita kerana bagi saya kebebasan akhbar tidak harus dilihat dari segi pemberitaan bagi semua pihak.

"Ini berdasarkan teori komunikasi yang mengatakan ada agenda setting, ada pendekatan media tidak boleh lari dari agenda asal. Kalau kita hendak membandingkan teori media sosial, teori itu ditentukan oleh pengendali blog itu," kata beliau.

Kata Ahmad Zahid lagi: "(Sebahagian) pengamal blog itu bukan profesional namun terdapat mereka yang terdiri daripada pengamal media. Kalau mereka memberikan komen yang adil, mengapa mereka tidak memuatkan berita yang adil tentang kerajaan dalam blog mereka. Kenapa perlu memihak.

"Dalam hal ini, akhbar Melayu seperti Utusan, jangan dituduh ada memihak, tanya diri mereka (pihak berkenaan) sendiri, mengapa mereka memihak hanya pada satu pihak. Berita negatif mengenal kerajaan hampir menguasai 100 peratus blog mereka. Jangan tuduh orang tidak adil, kalau diri sendiri tidak berlaku adil."

Sumber : Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment

komen² anda akan dipublish setelah disahkan..

terima kasih daun keladi..
esok² sudi la komen lagi..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...