Thursday, August 16, 2012

Awat Gabra Sangat Dengan Tanda Putera?


Tanda Putera akan mula ditayangkan di seluruh pawagam pada 15 November 2012 akan datang. Menurut pengarah filem ini, Datin Paduka Shuhaimi Baba, pertukaran tarikh tayangan sama sekali tidak menjadi isu kepada pihaknya dan bersetuju dengan tarikh tersebut.

“Tarikh ini dikira paling sesuai kerana bersempena dengan permulaan cuti sekolah hujung tahun dan memberi lebih ruang dan masa bagi FINAS dan kami merancang promosi filem ini.”
Sebelum ini filem Tanda Putera dihentam hebat oleh sesetengah pihak dan timbulnya dakwaan yang menyatakan watak seorang pemimpin DAP telah digambarkan dalam filem ini. Akan tetapi Shuhaimi Baba telah menegaskan bahawa itu sama sekali tidak benar dan kesemua jalan cerita dipetik daripada kisah sejarah Malaysia yang lampau. Oleh itu, ia langsung tiada kene mengena dengan propaganda politik sekarang.

“Dia tidak ada dalam filem ini. Kami telah beberapa kali menegaskan dan ingin mengulang bahawa tidak ada watak pemimpin DAP itu dalam Filem Tanda Putera,” jelas Shuhaimi Baba sewaktu sidang media filem ini berlangsung semalam. Terlalu banyak tuduhan palsu dan dakwaan yang membingungkan serta tidak berasas. Serangan berterusan ini memberi tekanan berat kepada tenaga penerbitan serta artis filem Tanda Putera.”

Filem Tanda Putera turut menyelitkan adegan berkaitan peristiwa sekitar 13 Mei, akan tetapi ia hanya ditayangkan dalam waktu yang singkat dan ia hanya merupakan latar kepada cerita utama.

“Adegan berkaitan peristiwa sekitar 13 Mei memakan masa hanya selama 10 minit daripada filem berdurasi 115 minit ini. Adegan tersebut hanya merupakan latar kepada cerita utama bagi menjelaskan mengapa Tun Dr.Ismail yang telah bersara terpaksa kembali menyertai Kabinet. Cerita utamanya ialah tentang Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak dan Timbalannya Tun Dr Ismail, persahabatan dan perjuangan mereka memulihkan negara daripada trauma 13 Mei dan kematian mereka yang tidak diduga.”

Selain itu, pihak produksi filem Tanda Putera berharap agar sebarang spekulasi negatif yang dilemparkan sebelum ini segera diberhentikan dan kata-kata terakhir pengarah filem ini adalah, “Saksikan filem ini dan buatlah kesimpulan sendiri.”



No comments:

Post a Comment

komen² anda akan dipublish setelah disahkan..

terima kasih daun keladi..
esok² sudi la komen lagi..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...