Full Width CSS

Alhamdulillah, Malam Seni Mencintai Nabi Muhammad Berjaya #respect @khairykj


Program Malam Seni Mencintai Nabi Muhammad SAW yang berlangsung di Pusat Pelancongan Malaysia di sini, malam tadi menggandingkan ahli-ahli politik, artis dan tokoh agama untuk bersama-sama menghayati erti sebenar kasih sayang yang cuba diterapkan Rasulullah SAW.

Majlis itu diadakan bagi membantah penerbitan filem Innocence of Muslims arahan Sam Bacile, yang jelas menghina Nabi Muhammad dan Islam.


Program ini diadakan dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Al-Qayyim Malaysia, Pemuda Umno serta Artis Malaysia bertujuan melahirkan pendirian secara harmoni berikutan penayangan treler filem itu baru-baru ini.

Majlis yang berlangsung selama tiga jam itu, diserikan dengan persembahan nyanyian kerohanian oleh penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza dan Amy Search.


Selain itu, terdapat bacaan puisi dan deklamasi sajak oleh Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin; bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin yang juga Ketua Wanita PKR.


Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Jamil Khir Baharom; Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim dan Ketua Penerangan Pas Selangor, Saari Sungib.

Program itu diacarakan oleh Wardina Safiyyah dan Ahmad Feitri Yahya.


Dalam pada itu, Khairy berkata, program ini salah satu cara bantahan yang diadakan selain daripada demonstrasi, yang pernah diadakan oleh mereka sebelum ini.

"Saya tak nak orang kata kita hanya buat demonstrasi saja. Sebaliknya, saya nak mulakan pada malam ini, Malam Seni Cintakan Rasulullah dan permulaan ini sangat bagus kerana kita buat majlis di tengah-tengah Kuala Lumpur, kita bersaing dengan bermacam-macam program hiburan lain tetapi tetap juga mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung khasnya daripada golongan muda.


"Selain itu, program ini turut menghimpunkan ahli politik dari Umno, Pas dan PKR yang menunjukkan walaupun berlainan fahaman politik tetapi kita boleh duduk bersama mendeklamasikan sajak atas satu tujuan yang sama iaitu dengan agama dan Rasulullah," katanya.

Ketika ditanya sama ada program ini akan diteruskan, Khairy menjelaskan, "berdasarkan sambutan pada malam ini, kita boleh bawa program ini ke tempat lain, contohnya seperti di universiti kerana kita ingin mendekati golongan muda dengan hiburan yang berunsurkan kerohanian secara santai dan tidak terikat dengan protokol."

Post a Comment

0 Comments