Saturday, September 29, 2012

#Bajet2013 : Ekonomi Malaysia Catat 5.4%


Pertumbuhan 5.1 peratus dicapai separuh pertama 2012

Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan lebih tinggi sebanyak 5.4 peratus pada suku kedua tahun ini walaupun persekitaran ekonomi dunia kekal mencabar, dipacu oleh permintaan dalam negeri yang kukuh.Berikutan pencapaian itu ekonomi negara berkembang 5.1 peratus dalam tempoh separuh pertama 2012 ini selepas tumbuh 4.9 peratus pada suku pertama. Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata permintaan dalam negeri meningkat 13.8 peratus pada suku kedua lalu berbanding 9.7 peratus pada suku pertama disokong pertumbuhan kukuh perbelanjaan sektor awam dan swasta yang mengimbangi kelembapan eksport berikutan penurunan dalam permintaan global.

Beliau berkata, kecuali sektor pertanian yang mencatatkan penurunan 4.7 peratus, semua sektor ekonomi utama yang lain mencatatkan pertumbuhan positif dalam tempoh suku kedua itu diterajui oleh pembinaan yang berkembang 22.2 peratus, perkhidmatan (6.3 peratus), perkilangan (5.6 peratus) dan perlombongan (2.3 peratus).

“Pertumbuhan pada suku kedua itu mengatasi jangkaan ahli ekonomi yang meramalkan pertumbuhan 4.6 peratus. Bank Negara juga telah menyemak semula pertumbuhan suku pertama kepada 4.9 peratus daripada 4.7 peratus,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam.

Zeti berkata, permintaan dalam negeri dijangka terus berdaya tahan, disokong oleh aktiviti di kedua-dua sektor awam dan swasta.
Beliau berkata, berdasarkan unjuran semasa, negara bakal mencatatkan pertumbuhan antara empat hingga lima peratus bagi seluruh tahun ini.

“Pada masa ini kami mengekalkan unjuran itu. Namun, pada pembentangan bajet akan datang (2013), mungkin ada pelarasan dalam unjuran berkenaan,” katanya yang yakin ekonomi negara akan tumbuh lebih kukuh dalam separuh kedua ini berdasarkan prestasi separuh pertama itu.

Zeti menegaskan, pelaburan swasta dijangkakan terus memacu pertumbuhan ekonomi negara yang mana aktiviti pelaburan yang meningkat boleh dilihat berdasarkan peningkatan 19.8 peratus pada keseluruhan separuh pertama tahun ini dan 24.6 peratus pada suku kedua.

“Inilah yang diperlukan bagi mengekalkan pertumbuhan dan kami melihat pelaburan kembali dengan kukuh, malah pasaran sekuriti hutang swasta menunjukkan beberapa terbitan baru bagi mengumpul dana dalam sekuriti hutang swasta untuk pelaburan dalam projek baru,” katanya.

Zeti berkata, peningkatan kedudukan Malaysia dari segi daya saing dan kos menjalankan perniagaan, secara tidak langsung membantu iklim pelaburan negara.

Beliau berkata, beberapa projek kejuruteraan awam besar juga mencatat pertumbuhan kukuh dan akan membantu menyokong pertumbuhan ekonomi termasuk projek saluran paip Sabah-Sarawak bernilai RM4.6 bilion, projek Landasan Berkembar Elektrik Ipoh-Padang Besar bernilai RM12.5 bilion dan loji tenaga Janamanjung berharga RM5 bilion.

"Kita juga mencatat penggunaan kapasiti lebih tinggi yang kini mencecah paras 80 peratus. Kebiasaannya apabila keadaan ini berlaku dalam pelbagai industri, ia akan mencetuskan aktiviti pelaburan baru," katanya.

Melangkah ke hadapan, Zeti berkata, ekonomi global berdepan dengan risiko yang semakin meningkat berpunca daripada perkembangan dalam beberapa ekonomi utama yang mana ketidakpastian mengenai dasar yang membelenggu krisis hutang kerajaan Eropah dan isu fiskal di Amerika Syarikat dijangka memberi kesan terhadap sentimen pasaran dan prospek pertumbuhan.

Bagaimanapun katanya, sokongan kukuh permintaan dalam negeri yang disokong oleh kegiatan sektor awam dan swasta telah menghasilkan pertumbuhan ekonomi negara yang lebih tinggi dalam persekitaran global yang semakin mencabar.
“Arah aliran ini dijangka berterusan pada masa depan, meskipun risiko akibat perkembangan luaran akan terus wujud,” katanya.

No comments:

Post a Comment

komen² anda akan dipublish setelah disahkan..

terima kasih daun keladi..
esok² sudi la komen lagi..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...