Full Width CSS

Bas #GoKL Tambang Percuma + Wifi @aduanSPAD


Untung warga kota Kuala Lumpur.

Ada satu perkhidmatan bas baru yang berwarna ungu ataupun purple. Saya pun tak tahu mana satu color yang sebenarnya pasal saya sendiri buta warna hehe. Bukan soal color yang saya nak ceritakan tapi tentang perkhidmatan bas yang saya ingin story skit di sini.

Perkhidmatan bas baru yang diberi nama Go-KL ini merupakan satu daripada aspirasi dan cadangan yang diletakkan di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP) dalam perincian untuk mempertingkatkan perkhidmatan awam yang lebih baik kepada rakyat.

Perkhidmatan bas Go-KL City ini diperkenalkan untuk warga kota sebagai usaha penambahbaikan sistem pengangkutan dalam bandar, selain dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas. Ini satu cara dan usaha kerajaan untuk menukar trend rakyat zaman sekarang yang lebih gemar menggunakan kenderaan sendiri berbanding perkhidmatan bas awam.

Sedikit pandangan saya mengenai pelaksanaan perkhidmatan bas Go-KL ini. Rakyat sering mengeluh kerana tersangkut dalam kesesakan lalu lintas yang teruk di bandaraya Kuala Lumpur. Tapi tanpa disedari sebenarnya, antara penyumbang kepada kesesakan jalan raya berpunca daripada kita sendiri yang memandu kereta di dalam bandar.

Dulu kerajaan pernah mengunjurkan trend yang dinamakan 'kongsi kereta' untuk berulang alik ke tempat kerja. Kemudian apabila siapnya sistem LRT yang menghubungkan kawasan-kawasan pinggir Lembah Klang dan trend untuk berkongsi kereta kian dilupakan sehingga ke hari ini.

Warga kota jarang menggunakan perkhidmatan bas dalam bandar walaupun Prasarana melalui RapidKL telah melakukan pelbagai usaha untuk menarik minat orang ramai menggunakan perkhidmatan bas dalam bandar. Kesudahannya tetap begini, perkhidmatan bas dipinggirkan dan pengguna jalan raya mengeluh tersangkut dalam kesesakan jalan raya.


Hari ini bersempena dengan Hari Kemerdekaan ke 55 tahun, kerajaan menghadiahkan perkhidmatan bas percuma beserta dengan perkhidmatan jalur lebar (wifi) di dalam bas khusus untuk warga kota dalam usaha mengurangkan kesesakan jalan raya dan meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam.

Warga kota harus merebut peluang ini sebagai sesuatu yang positif dan rakyat terutamanya perlu menukar persepsi (mind set) untuk menggunakan perkhidmatan bas ini sebagai satu trend dan hasil daripada itu, kesesakan trafik di Kuala Lumpur dapat dikurangkan.

Satu cadangan saya kepada kerajaan untuk penambahbaikan sistem trafik di bandaraya Kuala Lumpur ialah menghadkan bilangan kereta persendirian di dalam bandaraya Kuala Lumpur seperti mana yang pernah dilakukan suatu ketika dahulu. Kerajaan perlu membuat ketetapan hanya kenderaan yang mempunyai lebih dari 3 orang di dalamnya, pengangkutan awam seperti bas, teksi dan kenderaan perdagangan saja dibenarkan masuk ke dalam bandar pada sekian-sekian masa tertentu. 

Secara automatiknya kerajaan telah mendidik rakyat untuk menggunakan perkhidmatan awam yang telah sedia ada. Apabila permintaan meningkat daripada rakyat maka pihak pemberi perkhidmatan akan meningkatkan operasi dan kualiti perkhidmatan secara tidak langsung.

Bas Go-KL yang beroperasi seawal 6 pagi hingga 11 malam itu bukan sahaja dilengkapi dengan kemudahan WiFi, tetapi juga mempunyai jadual kekerapan setiap lima minit pada waktu puncak, manakala 15 minit pada waktu biasa.

Selain Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), SPAD turut bekerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan kelancaran sepanjang tempoh pelaksanaannya.
Laluan bas Go-KL


Jom naik !

Post a Comment

0 Comments