Full Width CSS

PRKAMPUS : #AspirasiMahasiswa vs Mahasiswa Pro Pembangkang


Demam pilihan raya kampus bermula lagi. Pertembungan lama di kampus sejak 1960an antara mahasiswa nasionalis dan sosialis bersambung kembali. Episod baru pilihan raya kampus, bermula antara kumpulan reformis dan transformasi (perubahan) sejak 1999 lagi, ianya berlarutan hingga tahun 2012.

Era aspirasi mahasiswa mengorak langkah seterusnya pada 2012 untuk mempertahankan kampus agar sentiasa berpihak kepada aspirasi mahasiswa yang sebenar. Bermula dengan pilihan raya kampus pada November 1999, di mana pada waktu itu hanya ada 9 universiti awam.

Arus reformasi begitu kuat pada November 1999, hinggakan pada waktu itu 8 buah IPTA jatuh ke tangan mahasiswa pembangkang kecuali satu universiti di utara yang mendapat kemenangan 13-8. Kemenangan yang sebenarnya mengejutkan sendiri Tun Mahathir yang pada ketika itu adalah Perdana Menteri Malaysia.

Siapa sangka sewaktu anak muda mahu ke jalanan membakar tayar, merosak kedai dan membaling batu untuk memprotes, masih ada generasi muda yang mahu bersama dengan aspirasi kepimpinan peringkat nasional. Sebab itulah ada orang membuat seloka UUM itu adalah Universiti Untuk Mahathir pada waktu itu. Memang benar kerana lokasi UUM adalah di Kubang Pasu, kawasan parlimen yang diwakili Tun Mahathir.

Keputusan Pilihan Raya Kampus, PRK pada waktu itu adalah 1-8 dengan berpihak kepada mahasiswa pro pembangkang. Hanya 11.1% dikuasai oleh aspirasi mahasiswa. UiTM dan UMS membuka kawasan putih baru untuk aspirasi mahasiswa bila menang pada November tahun 2000. Mengecilkan jurang penguasaan kepada 2-7, manakala di UUM tumpas akibat kurangnya peratus mengundi akibat hujan lebat.

Pada pertembungan kali ketiga pada tahun 2001, kumpulan aspirasi mahasiswa menang dengan penguasaan 53.8% atau 7-6 berbanding kumpulan mahasiswa pro pembangkang. Isu tindakan ekstrems kumpulan pembangkang yang terlibat dalam gerakan subversif hingga terbakarnya Dewan Tunku Canselor (DTC), UM menjadi titik tolak utama tumbangnya pengaruh mahasiswa pro pembangkang di 13 IPTA. Kepimpinan Dato Mustapa Mohamed (Tok Pa) menjadi inspirasi baru kemenangan aspirasi mahasiswa pada 2001.

Tamparan hebat buat PAS dan PKR pada 2001, tahun seterusnya pada 2002, aspirasi mahasiswa meneruskan kecemerlangan lagi dengan menambah penguasaan kepada 60% bila menang 9 universiti berbanding mahasiswa pembangkang yang menang hanya 6 universiti. Mahasiswa mula menolak cara demonstrasi liar dan politik taksub PAS dan PKR di kampus. Pengaruh Anwar Ibrahim yang pada waktu itu berada dalam tirai besi mulai pudar di kalangan mahasiswa.

Pada tahun kelima (2003) penguasaan mahasiswa pro pembangkang terus merosot di 15 IPTA, hanya dua universiti yang tinggal dikuasai mereka. Keputusan adalah 13-2, dengan UKM menjadi tempat baru dikuasai oleh aspirasi mahassiwa melalui Tindakan Siswa Bersatu (TSB).

Pada tahun 2004, jumlah MPP yang mendukung aspirasi mahasiswa bertambah dengan mendadak iaitu 406 orang berbanding 75 orang sahaja MPP yang pro pembangkang. Keputusan masih lagi kekal 13-2 dengan Universiti Malaya menjadi tempat baru dikuasai oleh aspirasi mahasiswa. Keputusan yang dikatakan banyak dipengaruhi oleh pilihan umum pada Mac 2004.

Tahun ke-7 iaitu pada 2005 merupakan tahun paling cemerlang bagi aspirasi mahasiswa bila kesemua universiti dimenangi dengan keputusan penuh 17-0 (100%). Ada pendapat mengatakan keputusan ini diperolehi kerana tindakan memboikot yang diadakan oleh kumpulan mahasiswa pro pembangkang. Pandangan yang lebih kuat merumuskan bahawa kemenangan itu berpunca daripada penubuhan sebuah kementerian khusus untuk menjaga IPT iaitu Kementerian Pengajian Tinggi pada 2004.

Pengurangan faedah 4% PTPTN dan penubuhan sebuah kementerian khas untuk IPT adalah perjuangan yang diusahakan melalui Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, MPPK yang ditubuhkan sejak 2001 lagi. Majoriti MPP aspirasi mahasiswa yang memperjuangkan isu-isu kebajikan pelajar untuk kepentingan mahasiswa dalam MPPK terbukti berjaya melaksanakan tugas dengan baik.

Tahun ke-8 (2006), aspirasi mahasiswa meneruskan kecemerlangan bila menang 17-1 dan hanya tumpas di UIA dengan kedudukan 13-29. Tahun ke-9 (2007), mahasiswa pro pembangkang masih lagi tumpas teruk iaitu 1-19 berbanding aspirasi mahasiswa, hanya menang di UIA sahaja.

Sesudah kalah teruk pada 2005, 2006 dan 2007, mahasiswa pro pembangkang mula menjenamakan semula gerakan mereka. Tema oren dan logo yang lebih seragam dipilih. Nama mahasiswa diambil secara haram untuk dijadikan nama gerakan mereka iaitu Pro Mahasiswa.

Biarpun dengan jenama dan logo baru, namun mahasiswa pro pembangkang masih lagi tumpas pada tahun ke-10 (2008). Hanya menguasi tiga IPT berbanding 17 buah IPTA yang dikuasai aspirasi mahasiswa. Pilihan raya kampus tahun ke-11 (2009) adalah pilihan raya kampus paling kotor dalam sejarah bila isu kepala babi dilempar dalam surau Akademi Pengajian Islam (API), Universiti Malaya.

Keputusan pada 2009 adalah memihak kepada aspirasi mahasiswa dengan 19-1 kecuali di UIA. Biarpun isu panas di UM, namun mahasiswa masih lagi rasional memilih aspirasi mahasiswa. Tahun ke-12 (2011) adalah pilihan raya kampus paling berdarah bila dua orang pengawal keselamatan dicederakan oleh sekumpulan mahasiswa pro pembangkang yang bertindak memecah pintu pejabat HEP di UPM. Selain kelakuan pelik seperti mengusung keranda, mengepung pejabat HEP dan lakonan culik di UM.

Tahun ke-12, aspirasi mahasiswa masih lagi menang di 17 IPTA, namun mahasiswa pro pembangkang mulai menambah beberapa kerusi fakulti dan umum di beberapa IPT. Tahun ini (2012) merupakan pertembungan kali ke-13 antara aspirasi mahasiswa dan mahasiswa pro pembangkang di IPT.

Angka yang sama untuk pertembungan pilihan raya umum ke-13 yang dijangkakan tidak lama lagi. Apa pun yang akan berlaku, pengaruh sokongan generasi muda yang intelektual di kampus akan diukur berdasarkan keputusan pilihan raya kampus. Berbeza dengan 12 tahun sebelum ini, pindaan AUKU dan cabaran yang baru dalam media sosial menjadi pilihan raya kampus tahun ini paling kritikal buat semua peminat politik kampus.

Baik pelajar, aktivis pelajar, bekas pemimpin pelajar dan orang politik, keputusan pilihan raya kampus yang akan diketahui sebelum pilihan raya umum kali ini adalah begitu penting sekali. Pilihan raya kampus yang ke-13 dan pilihan raya umum ke-13, kedua-duanya akan menjadi penentu masa depan negara. Mahasiswa sudah bijak memilih, kelangsungan negara ini tidak akan diserahkan pada pihak yang tidak sepatutnya. Teruskan agenda aspirasi mahasiswa. Jangan kotori pilihan raya kampus ke-13.

Sumber : Angin Perubahan

Post a Comment

0 Comments