Full Width CSS

Anda Kah Calon PRU 13 Ini? #1Malaysia #TolakPR #PRU13 #GE13


ADAKAH nama anda disenaraikan oleh parti di peringkat bahagian sebagai calon bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13? Jika ada baguslah. Tidak ada pun tidak apa kerana senarai itu bukanlah sesuatu yang muktamad. Perubahan boleh berlaku pada saat-saat akhir.

Apa yang lebih penting sekarang ialah bekerja untuk kemenangan. Inilah yang sedang dilakukan oleh parti politik menjelang PRU yang semakin hampir. Masing-masing mahu memikat pengundi. Mereka sudah menyediakan senarai calon walaupun ada yang masih berbalah mengenai pembahagian kerusi. Di sesetengah kawasan, sedang berlaku ‘perang’ bendera parti. Suasana ini agak berbeza. Dulu yang paling awal pasang bendera atau bendera sentiasa berkibar adalah Pas tidak kira masa sama ada musim pilihan raya atau sebaliknya. Tetapi hari ini bendera BN pun sudah berkibaran. Keadaan ini boleh dilihat di beberapa kawasan di Selangor. Di celah-celah banting Khalid Ibrahim tersenyum mengucapkan terima kasih kepada rakyat Selangor kerana memberi kepercayaan kepada PKR memerintah negeri itu, bendera biru berlambangkan dacing sudah banyak kelihatan. Tidak pasti selama mana bendera ini akan bertahan kerana mungkin mereka yang berkuasa akan menunjukkan belang menurunkannya.Apa pun, kali ini bajet bendera BN sudah turun ke bawah lebih awal.

Berkaitan dengan calon UMNO, ibu pejabat parti itu sudah menerima semua senarai nama calon yang berpotensi. Senarai nama itu diterima dari bahagian-bahagian parti secara berperingkat sehingga tarikh akhir penyerahan pada 2 April lalu. Kaedah yang digunakan ialah setiap bahagian menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi menamakan calon-calon yang difikirkan layak atau calon boleh menang.

Bagi setiap kerusi sama ada bagi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN), tiga nama akan disenaraikan. Itulah kebiasaannya. Kalau hantar ramai pun susah juga. Tetapi ada juga yang khabarnya ‘tidak tahu’ buat pilihan kerana serba salah, bimbang ada yang berkecil hati jika tidak disenaraikan. Maka semua ahli jawatankuasa UMNO bahagian itu disenaraikan, bermula dari Pengerusi Tetap sehinggalah Pemeriksa Kira-Kira. Bertambah pening pemimpin nak buat pilihan.

Bagi yang sudah tahu namanya dicalonkan, eloklah tonjolkan diri bertemu rakyat di kawasan. Mana tahu jika akhirnya terpilih, lebih mudah meneruskan kerja. Tetapi bagaimana pula jika tidak terpilih? Ini akan menjadi masalah lebih-lebih lagi bagi yang bercita-cita tinggi untuk menjadi wakil rakyat. Silap haribulan boleh jadi ‘sasau’ atau keluar parti atau melancong menjelang PRU. Inilah penyakit yang ditakuti parti.

Maka bagi yang disenaraikan sebagai calon, teruskan kerja seperti biasa. Terpilih atau tidak bukan isu utama. Apa yang penting calon pilihan itu boleh menang.

Seorang sahabat memberitahu, beliau tidak bercita-cita untuk menjadi calon walaupun ada yang melihatnya sebagai berpotensi. Baginya dia lebih suka membantu ‘di belakang tabir’ dengan menyusun program untuk parti. Malangnya, mereka yang berpotensi menjadi calon termasuk yang mencalonkan diri sendiri pula gelisah. Mereka tidak senang duduk dengan program yang diatur oleh sahabat ini. Bimbang melalui program yang diatur itu menjadikan dirinya lebih popular maka dia diminta duduk ‘diam-diam’. Dia diberi pilihan sama ada tangguh atau batalkan program yang diatur itu. Nampaknya ramai juga yang takut bayang-bayang. Inilah suasana politik dalam parti yang sukar dibendung. Depan cakap lain, belakang buat lain. Sikap seperti ini boleh menjejaskan keupayaan parti apabila tiba hari penentuan. Bagi ahli-ahli UMNO, mereka sepatutnya bekerja sebagai satu pasukan supaya tidak menjejaskan peluang membantu kemenangan Barisan Nasional (BN). Ini kerana BN sudah berada di landasan yang betul untuk menghadapi PRU kali ini. Bagaimanapun masih ada cabaran yang perlu dihadapi. Ketika BN sedang membina semula keyakinan rakyat terhadapnya, musuh BN iaitu pakatan 3P - DAP, Pas, PKR pula semakin ghairah mencari jalan untuk meruntuhkan keyakinan rakyat itu.

Satu persatu isu dibangkitkan bagi menimbulkan keresahan atau kemarahan rakyat. Sekali pandang isu-isu ini bukanlah tidak ada jalan penyelesaiannya tetapi ‘permainan’ pembangkang ini nampak lebih hebat. Kerajaan BN boleh menerangkan isu-isu berkaitan Felda, pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan macam-macam lagi, tetapi kadangkala orang yang mendengar lebih yakin dan percaya kepada persepsi berbanding kebenaran. Begitulah mereka begitu mudah mempengaruhi pemikiran rakyat.

Satu lagi kehebatan pakatan 3P yang tidak boleh ditandingi BN atau mana-mana NGO ialah keupayaannya menggerakkan demonstrasi jalanan atau protes bagi ‘mencabar’ BN dalam pelbagai isu. Mungkin BN juga perlu lebih agresif tetapi adalah lebih berbahaya jika BN pun mengambil tindakan yang sama menyebabkan satu pertembungan yang tidak sihat dalam dunia politik negara ini.

Mungkin atas faktor itulah, BN lebih ‘berdisiplin’ atau berhemah untuk menyatakan sesuatu supaya tidak terjadi gajah berjuang sama gajah, pelanduk mati di tengah-tengah.

Satu lagi kelebihan 3P ialah sering menyalahkan kerajaan BN atau parti politik BN apabila sesuatu itu tidak dapat dilaksanakan dengan baik. Mereka juga lebih gemar membisu seribu bahasa dan memekakkan telinga terhadap pelbagai desakan yang dibuat.

Di pihak BN, mereka bertindak untuk mempertahankan kuasa yang ada sambil memastikan negara akan terus dalam keadaan stabil dan mampu menjaga kepentingan rakyat untuk jangka masa panjang. Manakala di satu pihak lagi, mereka inginkan kuasa. Dan dalam usaha mendapatkan kuasa, mereka bersedia melakukan apa sahaja. Dalam keadaan terdesak selepas diasak, mereka sanggup ‘membakar kelambu kerana marahkan nyamuk’. Bagi mereka genggam bara api biar sampai jadi arang atau alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Bagaimanapun lebih malang lagi, ada pula yang bersedia menang sorak kampung tergadai.

Inilah cabaran yang perlu dihadapi BN.

Pastinya BN tidak mampu menjanjikan sesuatu yang luar biasa kepada rakyat kerana ia tidak mampu dilaksanakan tetapi bagi yang belum mendapat kuasa, mereka pasti menjanjikan ‘bulan dan bintang’ walaupun hakikatnya ia bagaikan janji ‘saudagar air liur’.

Post a Comment

0 Comments