Full Width CSS

Menilai #ManifestoBN #1Malaysia #PRU13 #APromiseofHope #TolakPR


Baru-baru ini, saya mengemukakan idea mengenai penggunaan satu senarai semak untuk menilai dasar ekonomi yang akan dibentangkan Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang (PR) menjelang berlangsungnya Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Nampaknya, idea itu agak mendapat sambutan jika diambil kira maklum balas yang diterima, termasuk undangan untuk saya muncul dalam satu program terbitan sebuah stesen radio popular.

Kini, BN sudah mengumumkan manifestonya dan tentu ramai yang bertanya sejauh manakah ia menepati senarai semak yang saya maksudkan? Berikut adalah penilaian saya.
Kriteria pertama ialah praktikaliti. Praktikaliti boleh membawa maksud berbeza, tetapi di sini ia bermaksud sama ada dasar yang dikemukakan itu berupaya untuk dilaksanakan atau hanya sekadar satu kenyataan yang indah untuk didengar.

Dalam aspek ini, manifesto BN mempunyai kelebihan. Dalam kesemua 17 bidang yang diliputinya, terdapat penjelasan secara khusus tentang perkara yang telah dilaksanakan dalam tempoh lima tahun lepas dan yang akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang. Tiada masalah di sini.

Tidak dapat dinafikan, orang boleh mempersoalkan sama ada ia merupakan langkah yang patut dilaksanakan atau sebaliknya, tetapi itu perkara lain. Secara umumnya, apa yang perlu dilakukan ialah mengadakan lebih banyak dialog secara serius tentang apa, bagaimana, bila dan kenapa berkaitan projek dan program berkenaan.

Kriteria kedua ialah perakuan berkaitan aspek kesalingbergantungan. Kelemahan yang terdapat dalam penggubalan dasar di mana-mana jua ialah ia sering dibuat secara “di dalam silo”, yang bererti ia tidak mengambil kira tentang apa yang berlaku dan keperluan di tempat lain.

Sebagai contoh, memang tidak dapat dinafikan bahawa perkhidmatan awam merupakan institusi yang amat penting, tetapi bagaimanakah begitu banyak sumber yang dijuruskan kepadanya, memberi kesan terhadap sektor swasta, terutama dari segi kebolehsediaan dan kos yang terlibat bagi jumlah tenaga manusia yang terhad sifatnya itu?

Juga, apakah kesan yang diperoleh daripada pelaburan yang begitu besar jumlahnya dalam sektor pengangkutan awam serta infrastruktur lain, kemudahan perumahan mampu milik dan perkhidmatan kesihatan terhadap kredit pasaran? Apakah kesannya terhadap imbangan bayaran luar semasa negara?


Persoalan tersebut dan beberapa perkara lain tidak dijelaskan dan oleh itu penilaian mengenainya tidak dapat dilakukan, bukan sahaja terhadap Manifesto BN, tetapi juga manifesto PR.

Kriteria ketiga mempunyai kaitan dengan insentif iaitu dasar yang dikemukakan perlulah tidak memberi ganjaran kepada perilaku yang tidak produktif dan menghukum perilaku yang produktif.

Banyak dasar yang berlandaskan niat yang baik akhirnya mewujudkan masalah kerana ia mewujudkan amalan merentir dan mencari habuan.

Jika Malaysia benar-benar ingin melaksanakan transformasi, maka tidak boleh mewujudkan halangan untuk bekerja keras dan mencari kekayaan.

Walaupun pelbagai pihak heboh memperkatakan tentang pemberian wang oleh kerajaan, namun jumlah bantuan kewangan yang ditawarkan itu agak munasabah. Bagi 40 peratus isi rumah bawahan, jumlah yang mereka terima hanya lebih kurang bersamaan dengan pendapatan tambahan untuk satu bulan bagi mereka.

Hakikat bahawa ia diberi dalam bentuk wang kepada kumpulan sasaran tertentu juga adalah sesuatu yang baik. Ia tidak sama dengan pemberian bukan berbentuk wang seperti subsidi tenaga dan makanan, yang boleh membawa kepada berlakunya penyelewengan dan pembaziran dalam skala besar.

Perlu juga disebut bahawa insentif lain yang ditawarkan oleh manifesto itu menunjukkan sesetengah rakyat negara ini akan mendapat pelbagai bentuk bantuan. Bagaimanapun, saya berpendapat bahawa dari segi pemberian geran wang, manifesto BN tidaklah bersifat keterlaluan dan layak diberi markah yang baik.

Kriteria keempat ialah kelestarian kewangan. Seseorang itu tidak boleh dianggap sebagai pakar ekonomi sekiranya dia tidak menyebut tentang kekangan belanjawan. Berikutan masalah hutang yang dihadapi banyak negara, maka perkara ini tidak boleh dipandang ringan.

Banyak pihak berbahas tentang manifesto siapakah yang lebih memiliki ciri-ciri kelestarian kewangan, tetapi saya tidak berhajat untuk menyiarkannya di sini.

Pada pendapat saya, manifesto BN dan PR perlu lebih terperinci untuk menunjukkan dengan lebih yakin bahawa ia tidak akan mengakibatkan berlakunya kehancuran belanjawan dan keperluan membuat pinjaman.

Kriteria kelima ialah inovasi. Einstein mentakrifkan ketidakwarasan sebagai melakukan sesuatu perkara secara berulang kali dengan harapan akan mencapai hasil yang berlainan. Bolehkah manifesto BN dianggap melakukan perkara yang sama secara berulang kali?

Saya berpendapat intipati manifesto itu serta kunci untuk memenuhi semua aspeknya ialah pembinaan sebuah ekonomi yang berdaya tahan, dinamik serta inovatif, kerana tanpa asas ekonomi yang kukuh, semua sasaran lain hanya merupakan impian semata-mata.

Sekiranya terdapat perbezaan ketara antara manifesto BN dan manifesto PR, ia adalah berkaitan aspek pro pertumbuhan dan pro perniagaan.

Kita sudah tahu tentang pro dan kontra Program Transformasi Ekonomi (ETP), tetapi kita tidak pasti tentang strategi pertumbuhan PR.


Kriteria keenam ialah orientasi luaran. Jika Malaysia benar-benar ingin memiliki daya saing dan menjadi dinamik, negara ini perlu meliberalkan pasarannya dan meningkatkan interaksi rentas sempadan.

Dasar yang boleh menghalang atau melambatkan tekanan luar, begitu jelas masih diragui kewujudannya.

Manifesto BN secara jelas menyebut bahawa ia menyokong penubuhan Komuniti Ekonomi Asean serta usaha meningkatkan kepentingan ekonomi dan kepentingan dua hala (Anehnya, hal ini diletakkan di bawah Pergerakan Kesederhanaan Global).

Dalam hal ini, ia layak diberi markah tinggi. Namun demikian, perlu juga ditegaskan bahawa banyak negara turut meliberalkan ekonomi masing-masing untuk memiliki daya saing, dan perkara ini perlu diambil kira.

Kriteria terakhir ialah modal sosial dan keterangkuman. Sesuai dengan sifatnya sebagai manifesto pilihan raya, BN dan PR sama-sama menawarkannya. Oleh itu, pada pendapat saya, kedua-dua pihak boleh diberi markah mengenainya.

Menyedari peri pentingnya langkah diambil untuk menangani isu ketidakadilan sosial, maka saya amat berharap kita tidak bersikap terlalu pemurah, yang akhirnya boleh menyebabkan lahirnya sebuah negara kebajikan yang bukan seperti yang diinginkan.



Ulasan,

Steven Wong
Pengarah Kanan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS Malaysia)

Post a Comment

0 Comments