Full Width CSS

Jangan Ganggu Saya - Professor K Rajagobal #1Malaysia @NajibRazak @Khairykj


Datuk K. Rajagobal tidak peduli dengan desakan sesetengah pihak agar beliau meletak jawatan sebagai pengendali skuad bola sepak Harimau Malaya.

Ini kerana pengendali berusia 57 tahun itu akan terus membimbing skuad tersebut sehingga kontraknya tamat pada 31 Disember depan.Ternyata kritikan daripada para pemerhati dan peminat bola sepak tempatan yang mendesak Rajagobal meletak jawatan gara-gara keputusan hambar skuad kendaliannya sejak kebelakangan ini tidak menjejaskan fokus beliau.

Sebaliknya, Rajagobal turut menempelak para pengkritik yang disifatkannya sebagai tidak sabar-sabar menuntut beliau meletak jawatan gara-gara prestasi hambar Harimau Malaya.

"Saya tidak akan letak jawatan, kontrak saya hanya akan tamat pada 31 Disember depan. Selepas itu, terpulang kepada FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) sama ada mahu menyambung kontrak saya atau tidak.

"Mereka (pengkritik) bukannya ada di Jepun dan tidak melihat bagaimana anak-anak buah saya beraksi. Sekarang bulan Ramadan, jadi jangan tambah dosa dengan mengkritik yang bukan-bukan. Mereka sepatutnya jangan ganggu saya dan persiapan pasukan kerana kami mempunyai misi besar untuk dilaksanakan iaitu layak ke Piala Asia (2015) selain persiapan berdepan Barcelona (10 Ogos)," katanya kepada pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang petang semalam.

Selepas mengharungi 13 perlawanan tahun ini, Harimau Malaya sekadar mampu melakar dua kemenangan, satu pencapaian yang cukup memalukan.

Pada masa sama, Rajagobal yang dilantik sebagai pengendali Harimau Malaya pada 20 April 2009 turut dikecam hebat selepas gagal memperbaiki kedudukan skuad negara dalam ranking dunia apabila kini sekadar menghuni tangga ke-159.

Terbaharu, Harimau Malaya diaibkan di bumi Jepun apabila mengalami tiga kekalahan ketika menentang kelab dari negara Matahari Terbit itu.

Selepas tewas 0-5 kepada Shonan Bellmare, Harimau Malaya tumbang 0-2 ketika menentang Shimizu S Pulse sebelum dimalukan kelab Divisyen Dua Liga Jepun, Tokyo Verdy dengan kekalahan 0-5 kelmarin.

Meskipun dilihat 'sudah terlambat', Rajagobal mengakui perlu meneliti semula mana-mana aksi persahabatan jika ia berlangsung pada bulan Ramadan selepas ini.

"Saya tidak mahu menjadikannya sebagai alasan tetapi pemain tampak kepenatan apabila terpaksa beraksi pada siang hari di bulan Ramadan sehingga sering membuat kesilapan mudah," jelasnya.

Ketika ditanya sama ada kritikan demi kritikan sedemikian seolah-olah tidak mengenang jasa beliau selama ini, jelas Rajagobal: "Jangan tanya saya. Tanya orang ramai. Mereka tahu siapa yang membantu negara menamatkan kemarau selama 20 tahun bagi meraih pingat emas Sukan SEA."

Post a Comment

0 Comments