Friday, August 16, 2013

Notis Mesyuarat Cawangan, Bahagian UMNO Guna SMS Dan Laman Sosial #1Malaysia


Notis mesyuarat UMNO peringkat cawangan dan bahagian di seluruh negara pada tahun ini bakal menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan laman sosial termasuk Facebook dan Twitter.

Setiausaha Kerja UMNO Datuk Abd Rauf Yusoh berkata cadangan penggunaan kaedah baharu itu dilihat seiring dengan peredaran masa dan kemajuan negara.“Cadangan ini adalah hasil maklum balas yang kita terima di peringkat akar umbi yang mahukan kaedah penyebaran maklumat melalui SMS serta laman social boleh diguna pakai untuk pemberitahuan notis mesyuarat seperti mana digunakan melalui penghantaran surat sebelum ini,” katanya selepas Majlis Taklimat Prosedur dan Kaedah Pemilihan UMNO 2013 di sini, Selasa.

Taklimat tertutup itu diadakan bagi memperjelaskan kepada anggota dan pemimpin UMNO semua peringkat di Melaka tentang kaedah baharu proses pemilihan parti pada tahun ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO Tan Sri Tajol Rosli Mohd Ghazali, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron.

Abd Rauf berkata walaupun notis pemberitahuan dicadang dimaklumkan melalui SMS dan laman sosial namun ia bukan kaedah untuk menggantikan penggunaan surat yang diguna pakai selama 67 tahun lepas.

“Kaedah baharu ini bukan untuk menggantikan surat kerana penggunaan surat adalah wajib dan ia telah termaktub dalam perlembagaan bahawa mesti menghantar notis bersurat untuk memaklumkan mesyuarat berkenaan,” katanya.

Beliau berkata sehubungan itu, pihaknya telah membawa cadangan tersebut untuk diputuskan di peringkat Majlis Tertinggi.

Sementara itu, Abd Rauf mengingatkan anggota UMNO agar tidak menggunakan wang, sumbangan atau berbentuk material sepanjang tempoh mesyuarat cawangan, bahagian dan majlis kerja tertinggi.

Beliau berkata kebimbangan itu ekoran mesyuarat berkenaan berada dalam musim perayaan Aidilfitri.

“Kalau kita dapat laporan tentang perbuatan seumpama itu, kita akan serahkannya kepada jawatankuasa lembaga pemantau disiplin untuk mentafsirkannya dan sekiranya mereka berpendapat cara itu adalah untuk memancing undi, terserah kepada mereka untuk mengambil tindakan,” katanya.

Dalam pada itu, Abd Rauf berkata anggota dan pemimpin UMNO di enam negeri termasuk Perlis, Kedah dan Melaka yang telah terlibat dalam Taklimat Prosedur dan Kaedah Pemilihan Umno 2013 memberikan maklum balas positif mengenai kaedah baharu proses pemilihan di peringkat cawangan, bahagian dan pucuk pimpinan tertinggi parti.

No comments:

Post a Comment

komen² anda akan dipublish setelah disahkan..

terima kasih daun keladi..
esok² sudi la komen lagi..

BAJU SEA GAMES 2017

BAJU SEA GAMES 2017
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...