Saturday, April 5, 2014

MAHB Confirm Tutup LCCT 9 Mei 2014 #1Malaysia #AirAsia


Malaysia Airport Holdings Bhd., (MAHB) menafikan dakwaan landasan klia2 tidak selamat digunakan, sebaliknya landasan itu diperakui boleh digunakan oleh Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA).
Malah, MAHB tetap akan menutup operasi Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) pada 9 Mei ini, seperti yang ditetapkan oleh kerajaan.

Pengurus Besar Kanan (Operasi) MAHB, Datuk Azmi Murad berkata, mana-mana pihak sepatutnya merujuk kajian dan hasil pemeriksaan landasan daripada DCA yang merupakan badan yang diberi kuasa, lebih diyakini dan dipercayai.

Jelasnya, masalah retakan atau mendapan di landasan turut berlaku di mana-mana lapangan terbang di seluruh dunia termasuk di LCCT sendiri.

“Laluan teksi pesawat L di hadapan LCCT juga retak pada waktu ini dan Kumpulan AirAsia juga meletakkan pesawat-pesawatnya di situ tanpa menimbulkan sebarang insiden.

“Kami akur kepada arahan kerajaan supaya menutup operasi di LCCT pada 9 Mei dan membuka klia2 pada 2 Mei ini. Tempoh Kesediaan Pengoperasian dan Perpindahan Lapangan Terbang (ORAT) telah pun diberikan sejak Februari lalu kepada semua pengendali penerbangan di LCCT.

“Terpulang kepada Kumpulan AirAsia untuk beroperasi di LCCT tanpa unit imigresen dan kastam kerana semuanya akan berpindah ke klia2. Kami tetap akan menutup ‘rumah’ kami,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Pada 1 April lalu, AirAsia telah memutuskan untuk terus beroperasi di LCCT, walaupun bersedia untuk berpindah ke klia2.

Perpindahan tersebut hanya akan dilakukan setelah semua isu berbangkit diselesaikan.

Malah, AirAsia memetik laporan firma pemeriksa Ikram Premier Consulting yang mendedahkan wujud mendapan pada landasan dan laluan serta tempat meletak pesawat di lapangan terbang yang memerlukan langkah-langkah pemulihan dilakukan secara kerap.

AirAsia mendakwa, mendapan landasan itu akan mengganggu operasi had penerbangan seperti Kumpulan AirAsia yang memiliki kira-kira 400 pergerakan pesawat sehari dan sekurang-kurangnya 70 pesawat milik syarikat itu di LCCT.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Aireen Omar juga menyebut, pihaknya merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya klia2 dapat berfungsi sepenuhnya dengan segera demi memberi manfaat kepada 12,000 kakitangan AirAsia dan peluang penerbangan murah kepada lebih 20 juta rakyat Malaysia setahun.
Katanya, AirAsia telah mengetengahkan isu-isu berkaitan kepada MAHB dan pihak berkuasa berkaitan.

Ditanya adakah kadar cukai lapangan terbang akan dinaikkan di klia2 sejurus beroperasi, Azmi berkata, setakat ini, masih belum ada keputusan mengenai perkara tersebut.

Menurutnya, kadar cukai lapangan terbang adalah masih sama seperti yang dinikmati AirAsia dan syarikat-syarikat penerbangan lain.

Mengenai kos untuk menampal landasan yang mendap dan retak, Azmi menjawab, hal itu hanya menelan kos yang minimum.
Katanya, penyelenggaraan landasan akan dijalankan dari semasa ke semasa sebagaimana yang dijalankan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan juga di LCCT.

No comments:

Post a Comment

komen² anda akan dipublish setelah disahkan..

terima kasih daun keladi..
esok² sudi la komen lagi..

BAJU SEA GAMES 2017

BAJU SEA GAMES 2017
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...