Full Width CSS

[Video] #DBKL Utamakan Peningkatan Mutu Perkhidmatan Pengangkutan Awam #1Malaysia #RapidKL @MyRapidKL


Dewan Bandar raya Kuala Lumpur (DBKL) komited untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di bandar raya ini dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk pengendali rangkaian pengangkutan awam terbesar di ibu negara, Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana).

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, antara aspek yang diberi keutamaan ialah meningkatkan mutu perkhidmatan dan kepercayaan kepada orang ramai terhadap penggunaan kemudahan pengangkutan awam.


  

Menurutnya, ia juga susulan rungutan daripada orang ramai yang masih tidak berpuas hati dengan perkhidmatan awam disediakan. “Berdasarkan laporan pengguna perkhidmatan berkenaan, terdapat penurunan peratusan orang ramai menggunakan pengangkutan awam iaitu kepada 17 peratus pada tahun lalu berbanding 25 hingga 27 peratus dua tahun lalu.

“Walau bagaimanapun, saya yakin dengan komitmen dan langkah-langkah penambahbaikan yang telah dan sedang dilakukan Prasarana, lebih ramai warga kota menggunakan pengangkutan awam," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika hadir me­rasmikan sambutan ulang tahun ke-10 RapidKL berdekatan stesen transit aliran ringan (LRT) Masjid Jamek di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Kumpulan Prasarana, Tan Sri Ismail Adam; Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Shahril Mokhtar; Ketua Pegawai Eksekutif Ra­pid Bus Sdn. Bhd., Datuk Ir. Zohari Sulaiman dan Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn. Bhd., Khairani Mohamed.

Tambah beliau, hasrat mengurangkan kenderaan persendirian masuk ke pusat bandar juga bakal direalisasi dengan siapnya projek sistem Transit Aliran Massa (MRT) tidak lama lagi.


“DBKL turut bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi memastikan laluan bas di pusat bandar tidak disalah guna kenderaan lain.

“Turut terlibat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) yang akan berkongsi maklumat dari segi logistik," katanya.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan agar RapidKL mengkaji laluan tambahan melibatkan beberapa kawasan yang kepadatan penduduknya tinggi, seperti di Projek Perumahan Rakyat (PPR), Perumahan Awam (PA) dan perumahan swasta.

Katanya, ia bagi menggalakkan dan memudahkan orang ramai masuk ke pusat bandar menggunakan pengangkutan awam.


“Pada masa yang sama, syarikat terbabit perlu memastikan pengangkutan awam yang disediakan mempunyai penghubung antara LRT, bas dan teksi, selain sentiasa memantau disiplin pemandu dan jadual perjalanan," katanya.

Flash mob ketika sambutan ulangtahun RapidKL ke 10.

Post a Comment

0 Comments