Full Width CSS

Mungkinkah Dyana Bakal Menteri Besar Perak Dari DAP #PRKTelukIntan #BattleOfTelukIntan


Apabila DAP mencalonkan Dyana Sofea perempuan melayu berumur 27 tahun dan seorang peguam lulusan Uitm yang juga merupakan Setiausaha Lim Kit Siang sebagai calon PRK P076 Parlimen Teluk Intan maka kecohlah ruangan media sosial Facebook dengan pelbagai tanggapan, kritikan dan tidak kurang juga pujian serta dipertahankan 'maruah' beliau.

Seperti yang saya sering nyatakan kepada rakan-rakan, kita perlu menyedari bahawa persaingan dan cabaran politik semasa bukan lagi terhad antara PR dan Barisan Nasional (BN) tetapi lebih jauh lagi ianya melibatkan semua parti dlm negara ini.

Persaingan dalam PR adalah antara DAP dan PKR yang merupakan parti berbilang bangsa untuk menjadi parti dominan dalam PR sekiranya mengambil tampuk pemerintahan negara. Perlembagaan DAP jelas menunjukkan perjuangan parti adalah untuk memastikan sistem pemerintahan dan undang-undang negara kekal Sekular malah pendirian DAP senantiasa menekankan bahawa negara Malaysia bukan negara Islam tetapi negara sekular.

Ketika ini sudah ramai anak-anak muda Melayu Islam yang turut sama mendokong aspirasi ini asalkan negara maju dan progresif seperti negara Singapura yang sering dijadikan contoh dan perbandingan.

Pencalonan Dyana Sofea dan calon-calon Melayu lain adalah penting (significant) bagi DAP bukan sahaja dalam konteks politik negeri Perak yang undang-undang tubuh kerajaan negerinya menetapkan Menteri Besar (MB) mestilah berbangsa Melayu dan beragama Islam. Malah dalam persaingan politik nasional di mana DAP mahu memastikan golongan anak muda Melayu baru menyertai parti dan meraih sokongan kepada mereka setelah rakyat bukan Islam menunjukkan sokongan padu kepada agenda Malaysian Malaysia berpaksikan kesamarataan hak kaum dan agama yang diperjuangkan DAP.

Lim Guan Eng pernah mengkritik dan menggelar Tian Chua sebagai penipu dan beberapa kali DAP mengkritik lantang PKR atas beberapa isu. PAS pula tidak dilihat sebagai pesaing yang kuat di dalam PR kerana ia lebih tertumpu kepada ahli-ahli dan sokongan orang Melayu Islam dan dilihat masih gagal membuat perubahan untuk menarik sokongan dan keahlian org Melayu kepada mereka berbanding UMNO. PAS masih dilihat tunduk kepada tekanan PKR dan DAP dalam beberapa isu dan sebahagian penyokong-penyokong PAS pula begitu ghairah mempertahankan dan memuji kekuatan PKR dan DAP.

UMNO / BN pula jangan asyik melaungkan ingin menarik sokongan anak-anak muda Melayu Islam tetapi pelaksanaan dan perubahan dalam parti mahupun pemilihan calon-calon PRU dan PRK tidak menunjukkan sikap perubahan yang dilaungkan. Masa tidak menunggu UMNO dan anak-anak muda Melayu Islam akhirnya akan membuat keputusan dan pendirian mereka untuk menyokong dan menyertai parti politik yg membuka ruang dan pintu kepada mereka.

Jika kepentingan peribadi pemimpin-pemimpin lama yang dah berpuluh-puluh tahun memegang kuasa dan jawatan mengatasi kepentingan perjuangan parti dan survival politik umat Islam Melayu menjadi keutamaan maka UMNO sebagai tunjang BN akan kekal dengan sokongan sedia ada dan pasti tidak mampu lagi untuk menahan kekalahan BN pada PRU-PRU mendatang dgn rata-rata pengundi-pengundi muda lebih menyukai dan menyertai PR berbanding BN.

Hakikatnya suasana politik negara di masa hadapan akan lebih mencabar dan menuntut kematangan segera umat islam di negara ini. Pencalonan Dyana Sofea dan suasana baru untuk menarik sokongan dan minat anak-anak muda Melayu Islam kepada DAP bukan perkara kecil yang boleh dipandang remeh.

PENULIS : Adnan Seman
Penceramah UMNO / BN

Post a Comment

0 Comments