Full Width CSS

Rail Academy Lahirkan Graduan Berkelayakan Dalam Sistem Urus Rail Tempatan @NajibRazak @ShahrilMokthar @MyRapidKL


Sejarah tercipta apabila institusi yang bermula sebagai sebuah jabatan latihan 17 tahun lepas sebelum berkembang pesat sebagai akademi yang diiktiraf kerajaan, semalam mengurniakan tauliah kepada kumpulan graduan pertama, dan sekali gus membuka lembaran baru dalam industri rel tanahair.


Seramai 469 wargakerja Rapid Rail – sebuah anak syarikat Kumpulan Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) menerima Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3, yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia dan diperakui di bawah Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS).Ditubuhkan pada 1997 sebagai sebuah jabatan latihan dalaman yang terus dipermantapkan sebagai strategi pembangunan insan Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail), Akademi Rel telah diiktiraf JKM sebagai Pusat Latihan Bertauliah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) pada bulan Jun 2011.

Diadakan dengan penuh istiadat dan gemilang di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur, majlis konvokesyen Rapid Rail 2014 itu disempurnakan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Dato’ Sri Shahril Mokhtar dan dihadiri oleh Ketua Pengarah JKM, Datuk Dr Pang Chau Leong dan Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Haji Khairani Mohamed.

“Bagi pihak Kumpulan Prasarana, saya ingin melahirkan rasa bangga saya atas kejayaan yang ditempa oleh Akademi Rel atau Rail Academy dalam melatih dan membimbing warga kerja Rapid Rail dan membangunkan institusi ini ke tahap sekarang.

“Pembangunan Rail Academy untuk menjadi institusi pengajaran yang diiktiraf daripada hanya sebuah jabatan latihan pada 1997 sememangnya adalah satu kejayaan besar; bukan saja kepada Kumpulan Prasarana, tetapi juga industri rel negara kita secara keseluruhan.

“Ini adalah kerana Kumpulan Prasarana, khususnya Rapid Rail, adalah penggerak utama kepada kemajuan industri ini selari dengan operasi harian kita sekarang untuk mengendalikan dua laluan LRT dan rangkaian monorel di Lembah Klang.

“Dengan rangkaian LRT yang bakal diperkembangkan lagi dan MRT bakal beroperasi pada akhir 2017, penggantungan rakyat kepada rel sebagai sistem pengangkutan harian akan semakin tinggi,” kata Shahril dalam ucaptama dan pengisytiharan pembukaan berkenaan.

Dengan perkembangan ini, katanya, rel akan menjadi tulang belakang kepada perkhidmatan pengangkutan awam dengan perkhidmatan-perkhidmatan lain seperti bas dan teksi menjadi perkhidmatan sokongan.

“Sekali gus, ini bermakna negara akan terus memerlukan lebih ramai lagi jurutera, eksekutif dan pekerja-pekerja mahir dalam bidang rel ini. Dan, ini akan hanya dapat dilaksanakan dengan memantapkan lagi institusi-institusi pengajaran di bidang ini dan Rail Academy mengorak langkah lebiih agresif dalam usahanya memperbanyakkan kuantiti dan meningkatkan kualiti di bidang ini,” tambah beliau.

Kata Shahril lagi, di pihak pengurusan Kumpulan Prasarana, ia akan terus meletakkan Rail Academy sebagai agenda yang penting dalam perancangan masa depan Prasarana.

“Rail Academy akan dipupuk untuk menjadi ikon kejayaan dan sumbangan Prasarana kepada negara,” tambah beliau.

Menghamburkan pujian kepada Akademi Rel atas kejayaannya, Pang, dalam ucapannya, berkata pengajian di akademi berkenaan memberi peluang kepada wargakerja Rapid Rail untuk memantapkan skil dan mempertingkatkan karier mereka di bidang rel.

Baca lagi di sini.

Post a Comment

0 Comments