Full Width CSS

Pembetulan Fakta Dasar Kabotaj Buku DILEMA SABAH #1Malaysia @mpkotabelud


Saya baru membaca buku "Dilema Sabah" oleh sahabat saya Sdra Musli Oli. Saya ucapkan tahniah kepada beliau kerana berjaya menulis sebuah lagi buku untuk tatapan kita semua.

Terima kasih juga atas publisiti untuk saya dengan menyebut nama saya beberapa kali dalam buku itu walaupun ada pandangan yang dikatakan pandangan saya, adalah rujukan yang tidak betul.

Saya terpanggil untuk memberi pandangan tentang beberapa perkara yang terkandung dalam buku tersebut.
Untuk posting kali ini saya hanya ingin sentuh isu "cabottage policy" (dasar kabotaj) yang diulas dengan panjang lebar oleh beliau dalam buku tersebut.

Isu ini penting kerana nampaknya ramai orang termasuk sahabat saya Sdra Musli yang tidak faham apa sebenarnya dasar kabotaj ini. Dalam posting akan datang insyaallah saya akan sentuh beberapa isu lain yang agak mengelirukan yang ditulis oleh Sdra Musli dalam bukunya itu.

Pertamanya, dasar kabotaj bukannya unik kepada negara Malaysia sahaja. Ia ujud dalam banyak negara di dunia ini. Tujuannya ialah untuk melindungi industri perkapalan negara-negara tersebut.

Dasar kabotaj Malaysia yang mewajibkan kapal yang mengangkut barangan di antara dua pelabuhan domestik Malaysia mesti didaftarkan di Malaysia, adalah versi dasar kabotaj yang paling longgar.

Di negara-negara lain seperti Amerika, Jepun dan Korea, dasar kabotaj mereka bukan sahaja mewajibkan kapal yang mengangkut barangan di antara dua pelabuhan domestik mereka mesti didaftarkan di negara tersebut, malah mereka mewajibkan anak-anak kapal yang bekerja di kapal itu adalah orang tempatan. Selain daripada itu, ada juga negara yang mewajibkan kapal-kapal tersebut diperbuat di negara berkenaan. Begitu ketat dasar kabotaj mereka. Sebagai perbandingan, Malaysia hanya mewajibkan kapal-kapal tersebut didaftarkan di Malaysia.

Kedua, tidak betul tuduhan Sdra Musli yang mengatakan bahawa kapal kapal dari Vietnam atau Hong Kong (yang lebih dekat dengan Sabah) tidak dibenarkan menghantar barangan mereka secara langsung ke pelabuhan di Sabah. Sebenarnya, TIDAK ADA DASAR KERAJAAN YANG MELARANG MANA-MANA KAPAL UNTUK TERUS KE PELABUHAN DI SABAH.

Terpulanglah kepada pemilik kargo dan kapal-kapal tersebut sama ada mereka mahu ke Sabah secara terus atau tidak. Itu bukan dasar kabotaj Malaysia.

Dasar kabotaj Malaysia hanya menyatakan bahawa jika kapal dari luar negara luar berlabuh di Pelabuhan Klang, barangan yang dipunggah turun dari kapal luar negara tersebut tidak boleh diangkut ke mana-mana pelabuhan domestik di Malaysia kecuali oleh kapal-kapal yang berdaftar di Malaysia sahaja. Itu sahaja dasar kabotaj Malaysia.

Ada beberapa perkara yang perlu kita ingat di dalam contoh di atas.

Pertamanya, kenapa perlu untuk kita lindungi industri perkapalan Malaysia atau kapal-kapal yang dipunyai oleh rakyat Malaysia. Jawapannya ialah kalau kita tidak melindunginya, industri perkapalan Malaysia, yang memang pun kecil saiznya, akan lingkup kerana tidak dapat bersaing dengan kapal milik syarikat perkapalan gergasi dunia.

Keduanya, isu keselamatan negara. Jika industri perkapalan Malaysia lingkup dan tutup kedai, apa akan terjadi jika berlaku bencana atau insiden kekacauan di rantau Asia Tengah seperti pertelingkahan ketenteraan? Besar kemungkinan kapal-kapal antarabangsa yang tidak dimiliki oleh orang Malaysia tidak mahu menghantar barang seperti beras kerana bimbang tentang keselamatan.

Kalaupun kapal-kapal luat negara ini sanggup belayar ke rantau ini, apakah kita sanggup membayar premium yang tinggi kepada mereka yang sudah tentu akan menyebabkan kos dan harga barangan tersebut akan naik berlipat kali ganda?


Sudah tentu kita tidak mahu industri perkapalan Malaysia ini gulung tikar kerana kesannya amat besar kepada negara. Sebab itulah negara-negara dalam dunia ini melindungi industri perkapalan domestik dengan cara memperkenalkan dasar kabotaj masing-masing.

Ketiganya, tidak benar jika dasar kabotaj ini dihapuskan, kos kapal yang membawa barangan ke Sabah akan turun dan dengan itu harga barangan di peringkat peruncitan akan turn juga.

Dalam kajian yang dibuat oleh Persatuan MASSA, menunjukkan bahawa bila harga freight kapal turun beberapa tahun yang lalu, ianya tidak diikuti dengan penurunan harga barangan peruncitan yang selari di negeri Sabah. Hakikatnya harga peruncitan barang tersebut kekal di tahap harga lama. Tidak ada penurunan.

Kenapa begitu?

Kerana kos pengangkutan bukanlah satu-satunya komponen terbesar dalam menentukan harga sesebuah barangan. Banyak lagi faktor besar yang lain mempengaruhi tahap harga barangan di Sabah.
Pada pandangan, kita tidak seharusnya termakan ubat yang salah untuk mengubati penyakit yang lain.

Saya harap dengan penjelasan saya ini, pembaca tidak lagi terkeliru dengan apa yang tertulis dalam buku sahabat saya itu.

Post a Comment

0 Comments