Full Width CSS

[Video] Kapal Terbang Nyaris Berlanggar Ketika Mendarat


Dua buah pesawat melalui saat mendebarkan apabila hampir berlanggar antara satu sama lain di Lapangan Terbang El Prat, Sepanyol pada Sabtu.

Dalam kejadian tersebut, pesawat Boeing 767 daripada syarikat penerbangan Rusia, Utair ingin melakukan pendaratan apabila pesawat Airbus A340 Aerolineas Argentinas melintasi laluannya untuk berlepas ke Buenos Aires.
Pesawat Boeing berkenaan yang sudah pun hampir mendarat terpaksa menangguhkan pendaratan bagi mengelakkan daripada berlanggar dengan pesawat Airbus itu, lapor Mail Online.

Pesawat Utair itu berjaya mendarat dengan selamat selepas juruterbang melakukan pendaratan cemas ‘go-round’, tidak lama kemudian.

Kejadian itu sempat dirakam oleh Miguel Angel yang memuat naik video itu di laman web, YouTube yang telah ditonton lebih satu juta pengguna.

Angel berkata, kejadian yang berlaku itu merupakan pengalaman paling buruk yang pernah dialaminya.

“Pesawat Utair Boeing 767-300 yang datang dari Moscow, Rusia sedang melakukan pendaratan di Landasan 02 ketika pesawat Argentinas Airbus A340-300 melintasi laluan itu.

“Ketika juruterbang menyedari kehadiran pesawat Airbus itu, mereka bertindak dengan baik dan menaikkan semula kapal terbang berkenaan sebelum mendarat,” katanya.

Pengurus Latihan di Pusat Latihan Penerbangan Anset, Kapten John Holmes berkata, terdapat tiga kemungkinan yang menyebabkan kejadian itu berlaku.

“Arahan yang dikeluarkan kepada pesawat Airbus itu disalah erti oleh kapten pesawat atau mereka tidak menerima sebarang arahan atau tidak ada arahan dikeluarkan dari menara kawalan,” katanya.

Sementara itu, Lembaga Lapangan Terbang dan Penerbangan Udara Sepanyol (AENA) dalam satu kenyataan berkata, tidak ada risiko pelanggaran antara kedua-dua pesawat itu memandangkan ruang untuk mendarat mencukupi bagi pesawat Utair.

Post a Comment

0 Comments