Thursday, August 21, 2014

Konsesi MRT Bukan Saja Perlu Utamakan Pekerja Tetapi Juga Penduduk Sekitar Kawasan Pembinaan @mpkotabelud


Saya ingin mengulas kejadian menyayat hati di tapak pembinaan MRT Lembah Klang (KVMRT) malam tadi yang menyaksikan tiga pekerja terbunuh, yang sebenarnya boleh dielakkan jika pihak berkuasa terbabit benar-benar memantau proses operasi masing-masing.

Di peringkat kementerian saya, pemantauan dilaksanakan menerusi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di kawasan terbabit, yang bertanggungjawab mengeluarkan Kelulusan Pembangunan, bagi setiap segmen projek berkenaan.


Saya meminta MRTCo dan Prasarana Negara berkerjasama dengan semua PBT di kawasan pembinaan KVMRT dan projek Sambungan LRT (LEP), untuk meningkatkan pemantauan dan pengawasan terhadap kawasan-kawasan pembinaan yang berada di bawah kawasan pentadbiran PBT masing-masing, bagi menjamin keselamatan pekerja dan juga orang awam yang menggunakan kawasan berhampiran.


PBT perlu memastikan perjalanan projek ini mematuhi peraturan-peraturan yang berkuatkuasa bagi memastikan kawasan pembinaan sentiasa selamat, bersih dan tidak mewujudkan kacau ganggu terhadap orang awam yang tinggal berhampiran kawasan pembinaan dan yang melalui kawasan tersebut.

Dengan peningkatan kes denggi terutamanya di Negeri Selangor, PBT perlu bertindak proaktif untuk memastikan kawasan-kawasan pembinaan secara amnya bersih bagi mengurangkan tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes.


Saya juga telah menerima aduan daripada penduduk di kawasan yang terjejas, yang melaporkan gangguan bunyi dan debu berlebihan di tempat mereka. Ada kalanya, gangguan ini berterusan sehingga ke tengah malam. Syarikat konsesi seharusnya mendengar rintihan penduduk terbabit dan melaksanakan usaha untuk membabitkan pihak berkepentingan (stakeholder engagement) dalam proses pelaksanaan projek, secara proaktif.

Hanya dengan pelaksanaan projek yang berkesan serta memenuhi kepentingan semua pihak, baik Kerajaan, pemegang konsesi dan rakyat; barulah kita dapat memenuhi aspirasi negara ke arah mencapai status negara maju dan berwibawa.


DATUK ABDUL RAHMAN BIN DAHLAN
MENTERI KESEJAHTERAAN BANDAR, PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN

No comments:

Post a Comment

komen² anda akan dipublish setelah disahkan..

terima kasih daun keladi..
esok² sudi la komen lagi..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...