Friday, August 22, 2014

Pergerakan Kenderaan Di Atas Jalan Raya & Jambatan #PulauPinang Akan Dihentikan #MalaysiaBerkabung #MH17


Semua kenderaan dari tanah besar menuju ke pulau akan dihentikan seketika di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang untuk bertafakur selama seminit, bagi menghormati jenazah mangsa tragedi MH17.

Turut dihentikan dalam tempoh itu ialah semua transaksi di Plaza Tol Jambatan Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, di Batu Kawan.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pulau Pinang, Supt. Ibrahim Abu Bakar, berkata tumpuan penugasan anggota trafik ialah di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang, membabitkan pergerakan kenderaan dari arah Seberang Perai.
“Kami minta pengguna jalan raya terlibat merancang perjalanan dalam tempoh itu,” katanya ketika dihubungi hari ini. Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, dalam kenyataan media semalam, meminta semua rakyat Malaysia meluangkan masa seminit untuk bertafakur, sebaik sahaja 20 jenazah tragedi MH17 tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA.

Waktu bertafakur selama seminit bagi menghormati jenazah tragedi H17 itu dijadualkan berlangsung bila-bila masa, seawal jam 10.30 pagi, bergantung kepada waktu ketibaan pesawat khas dari Amsterdam.

Sehubungan itu, Ahmad Shabery memohon rakyat Malaysia supaya peka dengan pengumuman waktu bertafakur yang akan dibuat melalui stesen radio dan televisyen tempatan. Sementara itu, Ibrahim berkata, polis bersiap siaga dalam memastikan kelancaran trafik di beberapa lokasi yang dikenal pasti di Pulau Pinang, sempena Hari Berkabung Negara.

Beliau meminta kerjasama dan menasihatkan orang ramai supaya mematuhi arahan petugas trafik dari semasa ke semasa.

Pengurus Operasi Kanan Penang Bridge Sdn Bhd (PBSB), Asnor Ali, pula berkata selain bertafakur di plaza tol itu, pihaknya akan mengadakan majlis bacaan doa dan surah Yasin membabitkan kakitangan PPSB.

Sementara itu, Penolong Pengurus Perhubungan Awam dan Komunikasi Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB), Azizi Azizan, berkata semua kenderaan yang menggunakan Jambatan Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah akan dihentikan selama satu minit di Plaza Tol Batu Kawan, apabila masa berkabung diumumkan.

“Kami juga akan memaparkan ucapan takziah kepada mangsa nahas MH17 menerusi VMS (Variable Message System), sebagai ingatan kepada pengguna mengenai upacara itu,” katanya.

Jurucakap Feri Pulau Pinang pula berkata, satu pengumuman khas akan dibuat kepada penumpang secara serentak, untuk meminta mereka berdiri dan bertafakur selama seminit menurut kepercayaan agama masing-masing.

“Operasi feri berjalan seperti biasa dan kami turut menyarankan penumpang yang menaiki feri bersama kenderaan supaya keluar dan turut serta memberi penghormatan,” katanya. - - See more at: http://www.utaranews.com/2014/08/hari-berkabung-negara-kenderaan.html#sthash.c1eRJofJ.dpuf

No comments:

Post a Comment

komen² anda akan dipublish setelah disahkan..

terima kasih daun keladi..
esok² sudi la komen lagi..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...