Full Width CSS

Anwar Punca PAS Kacau Bilau - Tun M


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan kekalutan yang berlaku dalam Pas kini berpunca daripada hasil kerjasama dengan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau mendakwa, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu gemar memecah-belahkan parti dan sentiasa membawa masalah sejak menyertai UMNO sebelum dipecat.

"Ini hasil daripada kerjasama dengan Anwar, siapa-siapa bekerjasama dengan beliau akan hadapi masalah sebab suka memecah-belahkan penyokong, penyokong sendiri pun pecah-belah.

"Tengok sejarah beliau, (malah) semasa masuk UMNO bawa masalah, (apabila) beliau buat pakatan bawa masalah juga," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas masalah dalaman yang berlaku dalam Pas ketika ini sehingga menimbulkan bibit-bibit perpecahan di antara kumpulan ulama dan Anwarinas.

Pertelagahan sesama ahli parti semakin ketara ketika berlangsungnya Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-60 di Batu Pahat, Johor, yang berakhir semalam malah, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara terbuka turut mengecam tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas di Selangor sebagai 'broker' dan 'barua'.

Gelaran itu diberikan kerana mereka menyokong Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail yang dicadangkan PKR dan DAP bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, situasi sukar yang berlaku dalam parti itu merupakan pengajaran berguna kepada Pas untuk menilai semula hubungan tahaluf siyasi dengan PKR dan DAP.

Post a Comment

0 Comments