Full Width CSS

#Bajet2015 [Part 1] : Pemuda UMNO WP Gesa Kerajaan Henti Jual Tanah Kepada Pemaju



PEMBANGUNAN pesat bandar-bandar utama seluruh negara terutama di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur begitu mengagumkan dan membanggakan warganya.

Pelbagai mercu tanda dan bangunan pencakar langit begitu mengujakan bagi sesiapa sahaja yang melihatnya tetapi ia tidak mencukupi bagi warga kota yang merupakan penghuni setia bandar raya ini.

Memiliki rumah sendiri merupakan impian utama golongan muda yang bertungkus-lumus mencari rezeki dan mempunyai keluarga di sini.

Kegagalan memiliki rumah di dalam bandar bukannya satu isu yang baru didengari hari ini sebaliknya merupakan masalah yang telah lama menjadi perbualan hangat mahupun perdebatan bagi kumpulan sasar ini memiliki rumah idaman.

Pasaran harga rumah di Malaysia mula meningkat pesat bermula pada awal 1990-an dengan peningkatan sebanyak 25.5 peratus daripada nilai sebenar 20.3 peratus dan merosot sedikit selepas krisis kewangan Asia antara 1997 dan 1999 sebanyak 39 peratus.

Namun pasaran harga rumah terus melonjak tinggi selepas pelancaran Pelan Greater Kuala Lumpur termasuk projek transit aliran massa (MRT), monorel dan transit aliran ringan (LRT) yang dinaik taraf.

Halangan sebenar yang mendorong tercetusnya masalah pemilikan rumah kepada golongan muda di bandar adalah kerana nilai hartanah yang melambung tinggi.

Pemaju membeli tanah dengan kadar yang tinggi kemudian ditambah dengan kos bahan-bahan binaan yang terlalu mahal menyebabkan harga sesebuah rumah meningkat dan tidak mampu dimiliki oleh mereka terutama yang baru mendirikan rumah tangga.

Kaji selidik yang dilakukan dalam laman sosial, Facebook mendapati antara faktor utama anak-anak muda gagal memiliki rumah adalah kerana sukar untuk mendapatkan pembiayaan perumahan daripada institusi kewangan disebabkan faktor gaji kerana harga jualan rumah paling rendah sekitar RM300,000 ke atas.

Jika dilihat pada tangga gaji lepasan diploma yang bermula sekitar RM1,300 sehingga RM2,000 dan lepasan ijazah pula RM1,900 sehingga RM3,000 sebulan, sudah tentu tidak memungkinkan seseorang itu merealisasikan hasrat memiliki rumah sendiri.

Pemilikan rumah begitu penting bagi generasi muda terutama bagi yang baru berkahwin dan belum mempunyai cahaya mata kerana kos perbelanjaan lebih ringan berbanding setelah mempunyai anak. Kos perbelanjaan sara hidup dapat dikurangkan atas dasar tahun pinjaman pembelian rumah.

Statistik perkahwinan bagi pasangan muslim dan bukan muslim di Wilayah Persekutuan mencatatkan kenaikan sebanyak 14,000 setahun. Ia sekali gus memperlihatkan kenaikan permintaan yang tinggi daripada golongan ini.

Tidak dinafikan bahawa kerajaan telah menyediakan pelbagai bentuk insentif seperti projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang banyak dibina di seluruh negara.

Namun ia masih tetap gagal dimiliki oleh golongan sasar kerana terdapat syarat-syarat terlalu ketat dikenakan oleh pihak bank sebelum diluluskan pinjaman.

Selain itu, pelarasan gaji minimum yang tidak disahut sepenuhnya oleh majikan antara salah satu faktor pinjaman tidak diluluskan.

Mungkin sudah tiba masanya pihak bank melonggarkan sedikit syarat atau memberi skim pinjaman istimewa untuk golongan memerlukan bantuan membuat pembelian rumah pertama.

Jika hendak memiliki rumah yang berharga antara RM300,000 dan RM450,000 sesebuah keluarga itu harus mempunyai pendapatan seisi rumah sekurang-kurangnya RM5,000 sebulan dengan tempoh bayaran semula selama 25 tahun hingga 30 tahun. Persoalannya berapa banyakkah keluarga muda di bandar mempunyai pendapatan sebanyak itu?

Kajian menunjukkan purata gaji seisi rumah dalam negara adalah sekitar RM4,300 untuk sebanyak 40 peratus dan RM1,700 untuk 40 peratus. Ini bermakna kebanyakan rakyat masih tidak mampu membeli rumah dengan harga yang ditawarkan.

Ini tidak termasuk lagi dengan perkiraan umur peminjam. Lebih muda umurnya, maka lebih lama tempoh pinjaman yang boleh dibuat.

Namun rata-rata pendapatan isi rumah di Kuala Lumpur boleh dianggarkan sekitar RM3,000. Maka semaksimum rumah yang boleh dimiliki dengan purata gaji itu adalah antara RM150,000 dan RM200,000 untuk tempoh pinjaman yang sama 25 tahun ke atas.

Namun ia akan berbalik semula kepada kekangan utama dasar pinjaman daripada institusi perbankan yang sudah pasti tidak pernah merujuk kepada geoekonomi di kawasan bandar dan keduanya, faktor hartanah kerana ia merujuk kepada sesuatu tempat serta bukan nilai semasa keseluruhan.


Baca lagi di sini

Post a Comment

1 Comments

  1. Najib mau dengar ke suara rakyat bawah ni?
    dia kan menjaga dan penjaga stake holder ATASAN..
    termasuklah menjaga survival CinaBeng Malaya, SRJKC dan hak kebebasan golongan KETUM..

    ReplyDelete

komen² anda akan dipublish setelah disahkan..

terima kasih daun keladi..
esok² sudi la komen lagi..