Full Width CSS

DBKL Beri Diskaun Khas Kompaun Trafik 18 Ogos - 31 Disember 2014


Pemberian diskaun khas kompaun trafik oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi galakan kepada orang ramai untuk membayar kompaun mereka lebih awal bagi mengelak daripada disenarai hitam.

Tinjauan Utusan Malaysia ke sekitar ibu kota hari ini mendapati, rata-rata orang ramai gembira dengan diskaun khas itu dan berharap ia dapat diteruskan pada masa hadapan.
Seorang pemilik restoran, Mohd. Hafiz Mohd. Hashim, 31, berkata, diskaun khas tersebut merupakan satu usaha DBKL yang harus dipuji dan perlu dicontohi oleh pihak berkuasa tempatan lain.

"Ini merupakan peluang keemasan yang tidak harus dilepaskan oleh orang ramai. Diskaun yang diberikan sangat berbaloi bagi orang ramai untuk menjelaskan bayaran kompaun.

"Saya harap diskaun khas ini diteruskan kerana salah satu punca orang ramai tidak membayar kompaun disebabkan kadarnya yang terlalu tinggi," katanya.

Baru-baru ini, Pengurus Perancangan Korporat DBKL, Dr. Ismail Stapa memaklumkan sejumlah 2,800 pesalah trafik yang dikenakan kompaun trafik DBKL sejak Oktober 2013 telah disenaraihitamkan daripada memperbaharui cukai jalan atau lesen memandu atau apa-apa urus niaga berhubung pertukaran hak milik kenderaan sehingga menyelesaikan bayaran kompaun trafik terlebih dahulu.


Oleh itu, DBKL memberi diskaun khas bermula 18 Ogos hingga 31 Disember ini dengan kadar yang lebih rendah iaitu bagi jenis kesalahan meter RM100 kepada RM30, motosikal RM300 kepada RM30, kereta RM300 kepada RM50 dan kenderaan berat RM300 kepada RM100.

Sementara itu, pekerja syarikat telekomunikasi, Mohd. Fikry Rosli, 26, berkata, dengan adanya diskaun khas tersebut secara tidak langsung meringankan bebannya untuk membayar kompaun.

"Saya belum menjelaskan bayaran kompaun motosikal, namun kadar khas RM30 adalah sangat berpatutan dan saya berterima kasih kepada DBKL," katanya.

Dalam nada sama, Nazrul Hazmi Ahmad Tarmizi, 19, berkata, selain kadarnya yang jauh lebih murah, diskaun khas tersebut memberi peluang kepada pesalah trafik untuk menjelaskan bayaran mereka dengan lebih cepat.

"Jika ada lagi pesalah trafik yang masih degil untuk menjelaskan bayaran dengan kadar rendah ini, DBKL jangan teragak-agak untuk menyenaraihitamkan nama mereka," ujarnya.

Bagaimana nak periksa kompaun anda?

KLIK SINI

Post a Comment

0 Comments