Full Width CSS

Kata Dua Kepada Wartawan The Sun Daily - @Zahid_Hamidi


Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini memberi pilihan kepada wartawan akhbar The Sun Daily untuk memohon maaf berhubung satu artikel berkaitan kenyataannya yang telah disalaherti atau beliau akan mengambil tindakan.

Beliau berkata pada 1 September lepas, satu artikel yang diterbitkan akhbar itu telah menyebut beliau mengeluarkan kenyataan bahawa “orang bukan Melayu sudah semakin sombong” ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Segambut.


Selain itu, Ahmad Zahid juga menafikan ada mengeluarkan kenyataan bahawa “Orang Melayu terpaksa membayar harga yang tinggi kerana berbuat baik kepada orang bukan Melayu”

Dalam artikel itu, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO dilaporkan berkata orang bukan Melayu kini sudah semakin sombong dan terus menghina kaum bumiputera, institusi raja dan Islam.

“Saya tidak pernah mengatakan bahawa orang bukan Melayu sudah semakin sombong dalam ucapan saya di Segambut.

“Ia bertentangan dengan agama Islam untuk menghina kaum atau agama lain,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Bendera di Batu Feringghi malam tadi.

Ahmad Zahid berkata wartawan mesti belajar memahami Bahasa Malaysia dahulu sebelum mula menulis dalam Bahasa Inggeris.

“Wartawan yang menulis artikel berkenaan gagal ditemui sehingga hari ini, dan saya meminta untuk bertemu dengan wartawan itu untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Artikel berkenaan kini dikatakan sudah menjadi viral dan disebarkan secara meluas di internet khususnya di laman media sosial.

Dalam ucapannya, beliau turut mengingatkan wartawan supaya tidak menyalahgunakan keterbukaan kerajaan dalam kebebasan media untuk menulis perkara yang tidak benar dan mampu menjejaskan kestabilan negara.

Pemeriksaan di laman web The Sun Daily mendapati di bahagian bawah artikel berkenaan sudah ditambah bahawa Ahmad Zahid sudah memberi penjelasan bahawa beliau merujuk kepada pemimpin dan penyokong parti pembangkang DAP.

Menurut Ahmad Zahid dalam penjelasannya, sebahagian besar masyarakat bukan Melayu masih menghormati antara sesama kaum dan menjaga sensitiviti mereka.

Post a Comment

0 Comments