Full Width CSS

Objek Berkelajuan Tinggi Tembusi Pesawat #MH17 Tu Maksudnya Kapal Terbang Kena Tembak


Pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai lalu, disahkan telah ditembak jatuh ketika dalam penerbangan dari Armsterdam ke Kuala Lumpur berdasarkan laporan awal berhubung insiden itu yang disiarkan oleh Lembaga Keselamatan Belanda (DSB), hari ini.

Menurut laporan DSB, pesawat MAS yang membawa 298 penumpang itu berkecai di udara selepas ditembusi sejumlah besar objek berkelajuan tinggi dari luar pesawat berkenaan ketika melintasi ruang udara timur Ukraine.


Laporan tersebut sekali gus dilihat mengukuhkan lagi dakwaan sebelum ini bahawa pesawat Boeing 777 berkenaan, terkena serpihan akibat tembakan peluru berpandu.

Berdasarkan siasatan ke atas serpihan pesawat MH17, DSB mendapati banyak kesan tembusan 'objek' dari luar pesawat dan menyebabkan kerosakan struktur pesawat sebelum berkecai di udara.

"Kesan tembakan ini juga menjelaskan punca komunikasi perakam kokpit dengan pusat kawalan trafik terputus secara tiba-tiba, serentak dengan kehilangan pesawat itu daripada radar.

"Pesawat MH17 disahkan berkecai di ruang udara berdasarkan penemuan serpihan yang berselerak di wilayah Donetsk," tambah laporan itu.

Siasatan awal DSB dijalankan ke atas maklumat kotak hitam pesawat, gambar dan rakaman video yang diambil di lokasi kejadian selain maklumat yang disalurkan oleh pusat kawalan trafik Ukraine.

Laporan awal itu juga mengesahkan tiada bukti atau petunjuk yang menunjukkan kotak hitam pesawat MAS tersebut dimanipulasi atau diubah sebelum diserahkan kepada pasukan penyiasat.

Bagaimanapun laporan DSB tidak menyebut jenis senjata yang digunakan untuk menembak jatuh pesawat MH17 yang merupakan jawapan penting bagi merungkai pihak yang bertanggungjawab ke atas tragedi tersebut.


Kiev dan Barat sebelum ini menuduh kumpulan pemberontak pro-Rusia menembak jatuh pesawat Boeing 777 itu menggunakan sistem peluru berpandu permukaan ke udara (SAM) yang dibekalkan oleh Moscow.

Namun Rusia menolak dakwaan tersebut, sebaliknya menyalahkan tentera Ukraine terlibat dalam nahas terbabit.

INFO TRAGEDI MH17

* Menurut 'Notice to Airmen' (Notam), pesawat MH17 terbang pada ketinggian yang dibenarkan iaitu 33,000 kaki di atas kawasan larangan ketika nahas berlaku.

* Pusat Trafik Kawalan Udara (ATC) Ukraine menjelaskan pesawat MH17 terbang di ruang udara bebas larangan dan mengikut laluan serta altitud ketinggian yang ditetapkan semasa nahas berlaku.

* Berdasarkan maklumat yang diterima daripada MAS, kesemua anak kapal pesawat MH17 adalah terlatih, tidak mempunyai masalah kesihatan dan layak melakukan penerbangan.

* Menurut dokumen laporan awal, pesawat MH17 tidak mempunyai sebarang masalah teknikal dan mampu membuat penerbangan.

* Tiada sebarang bukti menunjukkan wujudnya manipulasi berhubung penemuan kotak hitam MH17.

* Tiada amaran sistem pesawat kedengaran di dalam perakam suara kokpit yang berakhir pada pukul 13.20.03 (UTC). Komunikasi krew tidak memberi petanda bahawa terdapat perkara luar biasa dengan penerbangan.

* Semua parameter enjin pesawat adalah normal untuk penerbangan. Tiada amaran sistem pesawat yang dikesan oleh data penerbangan pesawat sehingga rakaman berakhir pada pukul 13.20.03 (UTC).

* Corak kerosakan yang diperhatikan dalam bahagian depan fuselage dan kokpit pesawat adalah konsisten dengan kerosakan yang boleh dijangkakan daripada sejumlah besar objek berkelajuan tinggi yang menembusi pesawat dari luar.

* Taburan serpihan pesawat di lokasi yang luas menunjukkan pesawat berkecai di udara.

Post a Comment

0 Comments