Wednesday, September 3, 2014

Pemandu Teksi Mahukan SPAD Ambil Tindakan Terhadap Teksi Uber


Kerajaan hari ini digesa mengambil tindakan terhadap syarikat perkhidmatan pengangkutan antarabangsa, Uber, yang beroperasi menerusi hubungan secara "online" di negara ini hingga menjejas pendapatan ratusan pemandu teksi tempatan, khususnya di Lembah Klang.

Gabungan Persatuan dan Syarikat-Syarikat Teksi Semenanjung Malaysia (Gabungan) berkata Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu segera menangani isu itu. "Syarikat ini bergerak licik kerana tidak mempunyai lesen perniagaan dan pejabat di Malaysia tetapi ia beroperasi di seluruh dunia secara online di internet dan menggunakan aplikasi telefon pintar.

"Yang membimbangkan perkhidmatan 'Uber' tidak mempunyai permit teksi yang dikeluarkan SPAD dan dipercayai pemandunya tidak mempunyai lesen memandu kenderaan awam (PSV)

"Ini membahayakan penumpang sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini seperti kejadian jenayah dan kemalangan jalan raya," kata Timbalan Presiden Gabungan Datuk Mohd Alias Abdul, ketika dihubungi Bernama.

Uber Kuala Lumpur

Perkhidmatan pengangkutan 'Uber' "dilancarkan" hanya menerusi online di https://www.uber.com/cities/kuala-lumpur pada tahun lepas untuk Lembah Klang.

Tinjauan Bernama mendapati Uber bukan sahaja menyediakan perkhidmatan menerusi telefon pintar tetapi juga Facebook dan Twitter.

Uber mengenakan caj sebanyak RM2 untuk setiap kilometer, dengan caj permulaan RM7, serta caj minimum sebanyak RM13.

Antara destinasinya di Lembah Klang ialah Kuala Lumpur (KL) ke Putrajaya dikenakan caj (RM68), KL ke Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) (RM270 untuk perkhidmatan premium dan RM80 untuk perkhidmatan bajet) dan KL ke Genting Highlands, Pahang, RM150.

Jenis kereta digunakan bergantung sama ada pelanggan mahukan perkhidmatan premium atau bajet.

Mohd Alias berkata perkhidmatan pengangkutan Uber menjejas pendapatan pemandu teksi kerana Uber mengenakan kadar tambang agak rendah berdasarkan bacaan jarak perjalanan dan tempoh masa perkhidmatan.

Uber mampu berbuat demikian kerana ia tidak menanggung pelbagai kos seperti pemandu teksi lain termasuk untuk pemeriksaan berkala (dua kali setahun) terhadap teksi di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer Sdn Bhd (Puspakom), katanya.

Pengarah Eksekutif Sunlight Radio Taxi Service Sdn Bhd, Ab Jalil Maarof berkata setiap kenderaan teksi tempatan perlu mematuhi semua syarat ketat perkhidmatan teksi demi keselamatan penumpang.

"Pemandu teksi juga wajib mempunyai lesen PSV dikeluarkan JPJ," katanya.

Beliau mendakwa Perkhidmatan Uber menggunakan kereta persendirian yang tidak diperiksa oleh Puspakom dan pemandunya mungkin tidak terlatih dan ini membahayakan penumpang.

Setiausaha Kehormat Koperasi Pengangkutan Putrajaya dan Cyberjaya Berhad, Mohd Salleh Mat Zin berkata perkhidmatan Uber itu melantik beberapa syarikat tempatan bagi mengendalikan perkhidmatan untuk mereka.

"Hasil siasatan, kami dapati Uber menggunakan kenderaan persendirian bagi mengangkut penumpang," katanya.

Beliau berkata pengusaha teksi tempatan menanggung kos insurans teksi empat kali lebih besar dari kenderaan persendirian.

Ini untuk kepentingan penumpang jika berlaku kemalangan, katanya.

1 comment:

  1. Kalau uber tak berjaya dihentikan di lembah kelang teksi teksi kena adakan kempen mansuhkan pemereksaan berkala untuk teksi.

    ReplyDelete

komen² anda akan dipublish setelah disahkan..

terima kasih daun keladi..
esok² sudi la komen lagi..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...