Thursday, October 9, 2014

Apa Kata Prasarana Berhubung Kapten Bas #RapidPenang Ditikam?

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) yang memiliki dan mengendalikan perkhidmatan bas RapidPenang akan bekerjasama dengan kesatuan sekerja Rapid Bus Sdn Bhd untuk mengkaji langkah-langkah untuk mempertingkatkan keselamatan para kapten basnya. Ini berikutan serangan seorang penumpang bas yang menyebabkan seorang kapten bas cedera parah pada awal pagi semalam berdekatan Jalan Paya Terubong, di Relau.

Namun, Pengarah Kumpulan Divisyen Bas Kumpulan Prasarana merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd, Zulkifli Mohd Yusoff menyeru semua pihak supaya bersikap rasional dan tidak bertindak secara terburu-buru kerana kejadian tersebut sesuatu yang terpencil dan tidak pernah berlaku sebelum ini.

Zulkifli berkata demikian selepas menziarahi kapten bas Aisyamudin Yaacob, 27, yang masih berada dalam keadaan stabil tapi kritikal di Hospital Pulau Pinang, dan keluarga beliau. Beliau turut berjumpa dengan wakil kesatuan sekerja Rapid Bus.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 6.00 pagi semalam, seorang penumpang wanita yang dipercayai kurang siuman menikam kaki kapten bas, Aisyamudin Yaacob, 27, yang sedang memandu bas RapidPenang dari Pengkalan Weld ke arah Balik Pulau apabila kapten bas tersebut tidak menurunkan penumpang tersebut di tempat yang diingini kerana kawasan tersebut kurang selamat dan bukannya tempat perhentian biasa.

Aisyamudin menurunkan penumpang tersebut di tempat perhentian yang berdekatan dan sejurus kemudian ditikam di bahagian kaki oleh penumpang tersebut.

Aisyamudin yang berasal daripada Pasir Puteh, Kelantan, mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ambulans ke Hospital Pulau Pinang berikutan bantuan daripada rakan sekerja.

Suspek tersebut berjaya ditahan polis dengan kerjasama beberapa kapten bas RapidPenang pada awal pagi tadi.

“Kami memandang berat terhadap kejadian yang mengejutkan dan tidak diduga tersebut. Kami sedang dan akan memberi bantuan dan sokongan yang sewajarnya demi kebajikan Saudara Aisyamudin dan keluarganya, kata Zulkifli.

Aisyamudin yang masih bujang adalah anak ke-enam daripada sembilan saudara dan adalah tunjang untuk menyara kehidupan keluarga termasuk dua adik bongsu yang masih bersekolah. Saudara yang lain sudah berkeluarga.

Beliau menyertai perkhidmatan RapidPenang kira-kira dua bulan yang lalu selepas tamat mengikuti skim latihan kapten bas Rapid Bus Sdn Bhd.

“Pekerjaan sebagai kapten bas penuh dengan dugaan dan cabaran. Selain bekerja dalam jangka waktu yang berpanjangan, kapten bas kerap mengharungi kesesakan lalulintas, di samping perwatakan dan kehendak para penumpang yang pelbagai.

“Walau bagaimanapun, kami berharap agar keluarga Saudara Aisyamudin serta para wargakerja RapidPenang bertenang dan tabah menghadapi kejadian ini,” kata Zulkifli.

Zulkifli turut berharap agar semua pihak berdoa agar Aisyamudin kembali sihat seperti sedia kala.

No comments:

Post a Comment

komen² anda akan dipublish setelah disahkan..

terima kasih daun keladi..
esok² sudi la komen lagi..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...