Full Width CSS

Azmin Kena Buktikan Menjunjung Agama Islam


Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di bawah pemimpinan baharu Menteri Besar Mohamed Azmin Ali digesa membuktikan komitmen menjunjung dan mempertahankan kesucian agama Islam dengan menghentikan pesta arak yang akan diadakan Ahad ini di Petaling Jaya.

Presiden Pertubuhan Ikatan Kebajikan dan Dakwah Selangor (IKDDS), Rosdi Long berkata, pesta arak atau lebih dikenali sebagai Octoberfest itu jelas satu aktiviti mempromosikan minuman keras serta kegiatan mungkar yang perlu dihalang.
Menurutnya, apa yang lebih menyedihkan, pesta itu akan diadakan pada bulan haji ketika umat Islam menghayati erti pengorbanan yang jelas sebagai satu perbuatan biadab.

"Pesta ini juga adalah bertujuan untuk menguji komitmen kepimpinan baharu kerajaan negeri sama ada mampu mempertahankan kesucian Islam dan menjaga sensetiviti umatnya.

"Sehubungan itu, kerajaan negeri pimpinan Mohamed Azmin perlu membuktikan ketegasan dan keberanian untuk menjaga dan menjunjun kesucian agama Islam," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Acara kemuncak Octoberfest yang akan diadakan pada 10 hingga 12 Oktober ini di tempat letak kereta One Utama, Petaling Jaya mendapat tentangan beberapa pihak ekoran diiklankan secara besar-besaran dan terbuka termasuk menggunakan papan iklan besar di Shah Alam .

Rosdi berkata, kerajaan PKR sepatutnya mengambil contoh atas tindakan yang diambil oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor yang membatalkan penganjuran pesta bikini di Hartamas pada Jun lalu selepas mendapat bantahan daripada orang ramai.

Beliau dalam pada itu turut menyuarakan rasa terkilan dengan kenyataan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang menyatakan penganjuran Octoberfest tidak boleh dihalang kerana Malaysia sebuah negara majmuk dan ia dianjurkan untuk orang bukan Islam.

"Beliau menganggap pesta arak itu sebagai satu kebebasan dan kononnya tidak melibatkan orang Islam.

"Namun, kenapa ia dihebahkan secara umum. Kami tidak ada masalah dengan program itu tetapi biarlah diadakan mengikut tata yang betul dan menghormati sensitiviti umat Islam," ujarnya.

Post a Comment

0 Comments