Friday, October 17, 2014

PBT Digesa Menggunakan Khidmat Pengesahan Bahasa Dewan Bahasa & Pustaka Untuk Iklan Tempat Awam @mpkotabelud

Contoh penggunaan bahasa Melayu yang paling jahanam
sekali oleh warga asing.
Merujuk kepada isu penggunaan bahasa Melayu dalam papan tanda iklan di seluruh negara sebagaimana dilaporkan media massa baru-baru ini, saya mengambil maklum mengenai isu berkenaan. 

Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berasa kesal kerana masih terdapat pihak yang tidak memartabatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengiklanan.

Untuk makluman, persetujuan telah dicapai dalam mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) ke-67 pada 4 Mac lalu, bahawa semua negeri di Semenanjung Malaysia, membabitkan 99 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), sepatutnya melaksanakan secara berperingkat sistem Khidmat Pengesahan Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (KPBDBP) dalam iklan di tempat awam. Bagi Sabah dan Sarawak, kesemua 50 PBT di kedua-dua negeri berkenaan mempunyai pilihan untuk menerima pakai pelaksanaan sistem itu.

Pelaksanaan sistem berkenaan antara lain mewajibkan PBT memeriksa penggunaan bahasa dalam iklan menerusi Internet, tanpa membabitkan kos tambahan kepada PBT dan syarikat pengiklan.

Antara PBT yang telah mewajibkan pengesahan penggunaan bahasa Melayu dalam iklan dan penamaan oleh DBP termasuklah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

Bagaimanapun, kajian juga mendapati sebahagian besar PBT masih belum menggunakan sistem KPBDBP yang dibangunkan oleh DBP. Justeru, menerusi pelaksanaan inisiatif ini, saya berharap lebih banyak PBT akan menerima pakai penggunaan sistem ini untuk memastikan pematuhan bahasa yang berkesan.

Proses memartabatkan bahasa Melayu di peringkat PBT ini sudah berjalan sejak beberapa tahun lalu. Audit Bahasa yang dilaksanakan di sekitar Lembah Klang oleh pasukan penilai yang terdiri daripada pegawai-pegawai Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), DBP dan PBT di 14 buah PBT pada 9 Mei hingga 14 September 2012, mendapati 882 (28.5 peratus) daripada 3,096 papan iklan yang diaudit tidak menggunakan atau mengutamakan penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam papan iklan luar.

Penguatkuasaan arahan dalam Garis Panduan Papan Iklan Premis menyatakan `PBT hendaklah memastikan penggunaan bahasa Malaysia yang betul dan tepat pada papan iklan terutamanya penggunaan perkataan, susunan ayat dan ejaan’. Justeru, pelaksanaan dan penguatkuasaan sistem pengesahan DBP di seluruh negara ini berharap dapat meningkatkan mutu penggunaan Bahasa Melayu dalam papan iklan dan papan tanda di seluruh negara.

DBP telah menyediakan perkhidmatan pengesahan bahasa membolehkan PBT untuk menyemak dan mengesahkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam iklan semasa membuat permohonan papan iklan dan begitu juga nama khas yang digunakan di tempat awam. Perkhidmatan ini dilaksanakan melalui kaunter, faksimile, e-mel dan secara dalam talian melalui http://prpm.dbp.gov.my/ atau http://www.dbp.gov.my/ DBP akan membuat pengesahan yang diterima daripada PBT pada hari yang sama juga.



DATUK ABDUL RAHMAN DAHLAN
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan & Kerajaan Tempatan

No comments:

Post a Comment

komen² anda akan dipublish setelah disahkan..

terima kasih daun keladi..
esok² sudi la komen lagi..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...