Full Width CSS

Gunakan Pengangkutan Awam Untuk Tonton Final Bola #Malaysia vs Thailand #AFFSuzukiCup2014


Demi memastikan para penyokong Harimau Malaya turun beramai-ramai menyokong pasukan bola sepak nasional, Rapid Rail Sdn Bhd, pengendali perkhidmatan LRT di Lembah Klang, akan meletakkan tren-tren Rapid KL dalam keadaan bersedia atau ‘stand-by’ untuk memastikan perjalanan selesa untuk para penggunanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Haji Khairani Mohamed, dalam satu kenyataan hari ini, berkata para penyokong tidak perlu bimbang kerana Rapid KL akan memastikan masa perkhidmatan LRT yang sesuai.
“Oleh kerana perlawanan dijadualkan bermula pada 8 malam dan dijangka berakhir sebelum 10 malam, pihak RapidKL tidak perlu melanjutkan waktu perkhidmatan biasa. Bagaimanapun, pihak operasi RapidKL akan memantau keadaan bagi memastikan keperluan untuk melanjutkan perkhidmatan.

“Kami juga akan meletakkan kakitangan tambahan di stesen-stesen strategik khususnya di Stesen Bukit Jalil bagi memastikan perjalanan lancar pada malam itu,” kata Khairani, yang juga Pengarah Kumpulan Divisyen Rel Prasarana Malaysia Berhad.

Tewas 0-2 pada saingan pusingan pertama di Bangkok malam tadi, peluang masih terbuka kepada skuad Harimau Malaya untuk memenangi kejuaraan Piala AFF Suzuki 2014 khususnya berdasarkan prestasi hebat memenangi saingan pusingan kedua separuh akhir ketika menentang Vietnam tempoh hari.

“Dengan sokongan padu daripada rakyat Malaysia, Harimau Malaya mampu mengaum semula. Apapun, kami memang menjangkakan kedatangan penonton yang ramai pada hari Sabtu ini,” tambah Khairani.

Menyarankan para penyokong untuk menggunakan pengangkutan awam khususnya perkhidmatan LRT Laluan Ampang untuk terus ke Stadium Nasional Bukit Jalil, Khairani berkata mereka boleh memilih untuk meletakkan kenderaan mereka di Kompleks Parkir Bertingkat Stesen LRT Ampang, Kompleks Parkir Bertingkat Stesen LRT Gombak ataupun

Parkir Bertingkat DBKL Tasik Selatan dan Sungai Besi bagi meneruskan perjalanan menggunakan perkhidmatan LRT.

“Untuk memastikan perjalanan lancar dan pantas, kami juga mencadangkan para pengguna menggunakan Kad MyRapid. Pastikan anda mempunyai nilai yang mencukupi sebelum memulakan perjalanan ke Bukit Jalil.

“Ataupun, sekiranya anda menggunakan token, anda digalakkan membeli token untuk pulang di Stesen Bukit Jalil sebelum keluar ke stadium. Token-token akan mula dijual pada 3 petang Sabtu ini,” tambah Khairani.

Post a Comment

0 Comments