Full Width CSS

Ismail Sabri Arahkan Semua Agensi Di Bawah Kementeriannya Bantu Mangsa Banjir @IsmailSabri60


Semua agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah digerakkan untuk membantu mangsa-mangsa banjir di seluruh negara terutamanya di kawasan yang teruk di landa banjir.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Pertanian memperuntukkan RM362,000 untuk disalurkan segera kepada mangsa-mangsa.

Bantuan itu katanya, termasuklah 12,000 kampit beras (5kg setiap satu) yang bernilai RM162,000, ikan sejuk beku bernilai RM30,000, air mineral sebanyak 10 ribu botol bernilai RM10,000, telur ayam kampung berjumlah 50,000 biji bernilai RM20,000 serta RM140,000 untuk membeli barangan kelengkapan lain.


“Semua agensi di bawah kementerian seperti LPP, FAMA, NAFAS dan NEKMAT telah dikerahkan untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, Kementerian Pertanian bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia bagi operasi menyalurkan bantuan makanan ke kawasan yang terputus hubungan.

"Sejak hari pertama banjir melanda Kelantan, Kementerian Pertanian melalui agensinya iaitu KADA telah menggerakkan jenteranya bagi menyalurkan bantuan makanan berupa beras, ayam, daging, bihun serta makanan lain kepada mangsa di pusat penempatan dan pemindahan banjir," katanya.

Ismail Sabri memberitahu, antara pusat penempatan dan pemindahan yang terlibat adalah di Pasir Mas, Kubang Kerian, Tumpat dan Rantau Panjang.

Kementerian Pertanian juga katanya, akan menjadi penyelaras kepada pusat pengumpulan di negeri terlibat seperti di Pahang, Kelantan, Terengganu dan Perak.

Selain itu, Pejabat Pertanian di kawasan terlibat akan dibuka setiap hari sebagai bilik gerakan untuk pemantauan bantuan.

"MADA pula akan meyalurkan bantuan segera untuk kawasan yang terlibat dengan banjir di Kedah dan Perlis.

"Kita juga akan menggerakkan nelayan untuk tujuan penghantaran bekalan makanan ke kawasan penempatan banjir memandangkan kebanyakan kawasan yang terlibat tidak boleh dimasuki kenderaan darat," katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri memberitahu, Agrobank dan TEKUN akan membuat penstrukturan semula pembayaran pinjaman kepada semua mangsa yang terlibat.

Selain itu, peruntukan pasca banjir sebanyak RM50,000 turut disediakan Kementerian Pertanian untuk projek pembangunan bagi membaikpulih pulih infra akuakultur.

"Sebanyak RM20,000 pula diperuntukkan kepada penternak ruminan untuk bantuan silaj dan isirung kelapa sawit (PKC)," katanya.

Pada masa yang sama, beliau memberitahu, setakat ini bekalan ikan dan sayur untuk keperluan negara masih mencukupi.

"Saya telah mengarahkan eksport untuk beberapa jenis sayur dihentikan serta merta jika keperluan negara mendesak.

"Import beberapa jenis sayur juga akan dibuat jika keperluan negara berkurangan," jelas beliau.

Ismail Sabri turut menegaskan, beliau telah mengarahkan eksport ikan tempatan ke luar negara dihentikan sejak Oktober lagi bagi persediaan menghadapi kekurangan bekalan akibat bencana banjir.

Katanya, sumber protein itu juga akan diimport sekiranya keperluan mendesak.

"Kita sentiasa memantau bekalan sayur, ikan dan cuba pastikan tiada masalah besar dihadapi rakyat negara ini," katanya.

Post a Comment

0 Comments