Friday, January 2, 2015

Kenyataan Jabatan Meteorologi Nafikan Ribut Tropika Melanda Negara

Datuk Azeez turun melihat suasana banjir di Temerloh. Gambar hiasa.

KUALA LUMPUR: Setiausaha Majlis Keselamatan Negara, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab, menafikan dakwaan kononnya ribut tropika Jangmi akan melanda 90 peratus kawasan di Malaysia pada Sabtu ini.

Beliau berkata, mesej berhubung perkara itu yang tersebar secara meluas di laman sosial hari ini adalah tidak benar sama sekali.
Mohamed Thajudeen menjelaskan ribut tropika Jangmi yang kini berada di kawasan perairan Filipina dijangka akan menjadi lemah di kawasan Laut Sulu.

"Cuma yang akan berlaku nanti ialah laut akan bergelora dan berlaku hujan di beberapa kawasan khususnya di sebelah timur Malaysia.

"Kita telah semak dengan Jabatan Meteorologi dan mereka nyatakan ribut tropika itu memang berada di kawasan Filipina. Tetapi tidaklah sampai akan melanda 90 peratus kawasan Malaysia. Ia akan menjadi lemah di Laut Sulu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamed Thajudeen berkata, penyebaran berita tidak benar itu sebagai perbuatan khianat pihak tidak bertanggungjawab.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan perbuatan itu dihentikan kerana rakyat Malaysia baru hendak pulih daripada bencana banjir dan mahu memulakan hidup baharu.

"Janganlah buat perbuatan khianat ini kepada rakyat. Cerita-cerita begini mewujudkan suasana panik, cemas dan mengecewakan rakyat. Perbuatan ini tidak baik dan boleh dianggap mengkhianati rakyat Malaysia," katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Datuk Che Gayah Ismail, berkata ribut Jangmi dijangka menyebabkan keadaan laut bergelora hanya di perairan Sabah, Labuan, dan Miri serta Bintulu di Sarawak mulai hari ini hingga Jumaat.

Penduduk di kawasan perairan Sabah (Kudat, pantai barat, Sandakan dan pedalaman) dinasihatkan mengelak daripada sebarang aktiviti marin terutama esok kerana ribut tropika itu dijangka akan menyebabkan cuaca buruk di kawasan-kawasan berkenaan.

Che Gayah juga berkata, ramalan Joint Typhoon Warning Centre (JTWC) menyebut bahawa ribut itu berada 665km dari timur laut Sandakan dan sedang bergerak ke arah barat dengan kelajuan 15km sejam.

"Ribut itu boleh menyebabkan angin kencang selaju 50 hingga 60km/j yang berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri. Ia boleh mengakibatkan ombak mencapai ketinggian 4.5 meter serta hujan lebat di kawasan berkenaan," katanya.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia, dalam makluman terbaharunya, menyatakan ribut tropika Jangmi telah menjadi lemah kepada Lekukan Tropika pada 12 tengah hari tadi.

Lekukan Tropika itu boleh menyebabkan angin kencang dengan kelajuan 40-50 km/j dan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter di kawasan perairan Sabah (Sandakan, Kudat, pantai barat dan pendalaman), Labuan dan beberapa kawasan di Sarawak.

"Mengikut cerapan pada jam 12 tengah hari tadi, Lekukan Tropika ini berada pada kedudukan latitud 8.9 darjah Utara dan longitud 121.7 darjah Timur. Jarak paling hampir dengan bandar di Malaysia ialah 527km ke timur laut Sandakan.

"Ia sedang bergerak ke arah selatan dengan kelajuan 12km/j," menurut kenyataan jabatan itu.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui talian hotline 1-300-22-1638 dan laman sosial MetMalaysia di facebook https://www.facebook.com/malaysiamet atau twitter https://twitter.com/malaysiamet.

No comments:

Post a Comment

komen² anda akan dipublish setelah disahkan..

terima kasih daun keladi..
esok² sudi la komen lagi..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...