Tuesday, January 6, 2015

Pesawat AirAsia #QZ8501 Terbang Tanpa Kebenaran?


Pesawat AirAsia QZ8501 yang terhempas di perairan Karimata, Laut Jawa Ahad lalu dikatakan tidak mematuhi beberapa peraturan penerbangan antarabangsa termasuk tidak mengambil dokumen maklumat cuaca sebelum berlepas.

Sebaliknya petugas operasi penerbangan AirAsia hanya meminta bahan maklumat mengenai cuaca kira-kira pukul 7 pagi waktu tempatan, setelah pesawat yang membawa 162 penumpang dan anak kapal yang dalam penerbangan dari Surabaya ke Singapura itu terputus hubungan dengan menara kawalan.
Mengikut peraturan penerbangan antarabangsa, dokumen maklumat mengenai cuaca sepatutnya sudah berada di tangan juruterbang sekurang-kurangnya satu atau dua jam sebelum sesebuah pesawat itu berlepas.

Perkara ini didedahkan oleh Ke­tua Badan Meteorologi, Kilmatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia, Andy Eka Sakya dalam suratnya kepada Menteri Perhubungan Indonesia, Ignasius Jonan pada 31 Disember lalu yang menyebut bahawa dokumen tersebut diambil selepas pesawat itu terputus hubungan dan bukannya sebelum berlepas.

Seksyen Data dan Maklumat BMKG, Juanda Bambang Setiajid tidak menafikan mengenai kelewatan petugas AirAsia mengambil data-data mengenai cuaca daripada badan tersebut.

Menurut akhbar Tempo, daripada cacatan buku log BMKG yang diterima oleh akhbar itu, tidak terdapat sebarang catatan mengenai pengambilan dokumen cuaca yang sepatutnya diambil satu atau dua jam sebelum pesawat itu berlepas pada pukul 5.36 pagi Ahad lalu.

Antara faktor yang dikatakan menjadi sebab pesawat jenis Airbus A330 itu terputus hubungan dan seterusnya terhempas di perairan Karimata ialah keadaan cuaca buruk diakibatkan oleh terbentuknya awan kumulonimbus yang mencapai ketinggian sehingga 40,000 kaki.

Akhbar Tempo juga melaporkan bahawa kejanggalan lain berhubung tragedi QZ8501 ini ialah pesawat ini terbang tanpa dokumen keselamatan penerbangan. Dokumen yang diberi nama Arahan Kelayakan Terbang Kecemasan (EAD) yang dikeluarkan oleh Agensi Keselamatan Penerbangan Eropah.

“Dokumen tersebut baru dikeluarkan pada 9 Disember lalu. Saya tidak yakin juruterbang AirAsia sempat membawa buku panduan terbaharu tersebut,” kata Pengarah Keselamatan Penerbangan, Wisnu Darjono.

Wisnu juga mendakwa, berlaku keganjilan berhubung percakapan juruterbang pesawat itu dengan petugas Menara Kawalan Udara ketika meminta kebenaran keluar dari laluan penerbangan dan meningkatkan ketinggian dari 32,000 kaki ke 38,000 kaki.

Katanya, juruterbang tidak menyebut mengenai cuaca ketika meminta kebenaran tersebut. Bagaimanapun, Pengarah Perhubungan Udara, DJoko Murjatmojo dalam sidang media sebelum ini memberitahu, juruterbang meminta keluar laluan ke kiri bagi mengelak awan.

Sumber : Utusan

No comments:

Post a Comment

komen² anda akan dipublish setelah disahkan..

terima kasih daun keladi..
esok² sudi la komen lagi..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...