Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan mencadangkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mewujudkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di ibu negara, Putrajaya atau Labuan bagi membolehkan pelajar yang mendapat keputusan cemerlang melanjutkan pengajian di institusi itu.
Ketuanya, Mohd. Razlan Muhammad Rafii berkata, perkara itu perlu dipandang serius memandangkan ketiga-tiga wilayah tersebut langsung tidak memiliki MRSM.
Katanya, keadaan itu menimbulkan situasi tidak adil bagi pelajar yang berasal dari mana-mana wilayah tersebut dan yang meraih keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) kerana terpaksa berebut dengan pelajar dari negeri lain sekiranya ingin melanjutkan pengajian di MRSM.
“Sekiranya kawasan di Kuala Lumpur terlalu padat dengan pembangunan komersial manakala Putrajaya penuh dengan kompleks-kompleks kerajaan, kami berpendapat tidak menjadi sebarang masalah untuk kementerian membina MRSM di Labuan.
“Kami memahami situasi kewangan negara ketika ini, sebab itu kami memohon sekurang-kurangnya sebuah MRSM dibina di mana-mana Wilayah Persekutuan tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Beliau memberitahu, cadangan itu akan dibentangkan sebagai usul Mesyuarat Perwakilan UMNO Cawangan Wilayah Persekutuan pada 15 Mac ini.
Menurut Mohd. Razlan, beliau juga akan mencadangkan dalam mesyuarat tersebut mengenai usaha memperkasakan bahasa Melayu dalam kalangan agensi kerajaan dan swasta.
Katanya, berdasarkan pemerhatian yang dijalankan, Bahasa Kebangsaan didapati tidak lagi menjadi bahasa pengantar utama masyarakat di negara ini.
“Saya menyedari isu ini memang telah berulang kali dilaungkan oleh beberapa pihak tetapi situasinya tetap sama, bahasa Inggeris tetap digunakan secara meluas di pelbagai peringkat.
“Lebih mengecewakan apabila semua perkara termasuk program rasmi seperti nama jalan, bangunan, taman perumahan, perjanjian jual beli dan program menandatangani memorandum turut menggunakan bahasa luar,” katanya.
Sumber : Mohd Razlan Rafii
0 Comments
komen² anda akan dipublish setelah disahkan..
terima kasih daun keladi..
esok² sudi la komen lagi..