Wednesday, March 25, 2015

Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Untuk Keselesaan Keluarga Anggota @HishammuddinH2O @NajibRazak


Melihat kepada keperluan semasa dan kepentingan aspek keselamatan dan kebajikan, Kementerian Pertahanan mempertingkatkan taraf hidup dan keselesaan warga tentera yang sanggup meletakkan kepentingan mempertahankan kedaulatan tanah air tercinta.

Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, pembinaan rumah keluarga seperti ini dilihat dapat memberi lebih keselesaan dan keselamatan kepada warga tentera dan keluarga. Ia juga dapat meningkatkan moral anggota-anggota untuk terus memberikan khidmat dengan lebih cemerlang dan komited serta dapat mencapai teras misi nasional dalam ‘membangunkan modal insan berkualiti’.
Justeru, amat penting buat warga tentera merasa yakin keluarga yang ditinggalkan sentiasa terpelihara dari segi keselamatan dan kebajikan. Kerana itu, kerajaan amat sedar betapa pentingnya rumah keluarga yang selesa dan selamat disediakan.

Berikut antara kemudahan selain pagar keselamatan yang terdapat di Rumah Keluarga Angkatan Tentera Sungai Pancing, Pahang yang dirasmikan oleh Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein,

a) 1 unit Banglo Kelas B2,
b) 1 unit Banglo Kelas C+,
c) 1 Blok Apartment Kelas E yang mempunyai 16 unit,
d) 6 Blok Apartment Kelas F yang mempunyai 96 unit,
e) 14 Apartment Kelas G yang mempunyai 224 unit,
f) Sebuah surau,
g) Sebuah taska,
h) Sebuah pusat komuniti,
i) Padang bola sepak, 
j) Padang permainan kanak-kanak,
k) Rumah pengawal

Untuk permulaan seramai 300 anggota lain-lain pangkat terlibat untuk dipindahkan ke Rumah Keluarga Angkatan Tentera Sg Pancing iaitu 234 anggota yang kini mendiami Rumah Keluarga Angkatan Tentera di Kem Batu 10, Kuantan dan 66 anggota yang sedang menyewa di luar ketika ini.

Lanjutan daripada pemindahan anggota di Kem Batu 10 tersebut ke Rumah Keluarga Angkatan Tentera Sungai Panching ini, maka sebanyak 8 Blok (setiap 1 blok mempunyai 24 unit rumah) yang mengandungi 192 unit rumah keluarga Kelas G di Kem Batu 10 akan dikosongkan. Setiap unit Kelas G ini hanya mempunyai 2 bilik tidur dan keadaan ini tidak menepati kelayakan minimum iaitu 3 bilik tidur bagi sebuah rumah yang selesa seperti ditetapkan oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).


Selain daripada itu, Hishammuddin turut mengumumkan bahawa Kementerian Pertahanan telah menerima peruntukan khas daripada kerajaan berjumlah RM100 juta untuk tujuan membaik pulih dan menaik taraf rumah keluarga angkatan tentera yang dibina pada tahun 70-an dan kebanyakannya berada dalam keadaan daif dan tidak menepati spesifikasi yang ditetapkan oleh kerajaan serta tidak sesuai untuk diduduki. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM60 juta dikhaskan untuk keperluan Tentera Darat.

Selain itu, melalui program NBOS-MyBM (My Beautiful Malaysia) di bawah kelolaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tentera Darat juga telah memperoleh peruntukan khas berjumlah RM33 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan rumah keluarga tentera yang sedia ada. Tentera Darat turut menerima peruntukan tambahan sebanyak RM1.5 juta melalui program ini bagi penyelenggaraan rumah keluarga kelas C dan Kelas G di Kuantan dan RM1.6 juta lagi diperuntukkan untuk penyelenggaraan rumah keluarga Kelas E dan F.

Menteri Pertahanan tersebut berharap agar pihak JKR dan agensi pelaksana yang telah dilantik dapat menyegerakan kerja-kerja pembaikan agar peruntukan yang diperoleh pada tahun ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi kesejahteraan keluarga warga tentera. Dalam masa yang sama juga beliau berharap dengan terlaksananya program penyelenggaraan dan peningkatan ini, lebih ramai anggota Tentera Darat yang menyewa di luar dapat menduduki Rumah Keluarga Angkatan Tentera dan menikmati kehidupan yang lebih kondusif, selesa dan terjamin keselamatannya terutamanya kepada keluarga yang terpaksa ditinggalkan kerana tugas.

Penyiapan projek Desa Tentera Darat Sungai Panching ini membuktikan komitmen kerajaan dan Kementerian Pertahanan dalam merealisasikan program-program peningkatan dan penyelenggaraan yang lain di Kuantan dan juga di seluruh negara bagi menjamin keselesaan hidup warga Angkatan Tentera Malaysia. Selain Rumah Keluarga Angkatan Tentera Sungai Panching ini, dan Hishammuddin juga kini sedang memberi tumpuan kepada Rumah Keluarga Angkatan Tentera untuk tentera laut di Sepanggar dan Rumah Keluarga Angkatan Tentera untuk tentera udara di Labuan.

Menurut beliau, semasa melakukan lawatan ke Sabah. Beliau sempat meninjau keadaan kedua-dua Rumah Keluarga Angkatan Tentera ini dan serentak itu, beliau telah meminta pihak Kementerian Pertahanan (TKSU Pembangunan) untuk memberi tumpuan khusus kepada usaha menaik taraf kedua-dua Rumah Keluarga Angkatan Tentera ini.

Dalam makluman tambahan, beliau mengumumkan bahawa kerajaan telah meluluskan sebanyak 10 projek pembinaan rumah keluarga baru di seluruh negara untuk Tentera Darat sama ada untuk menambah keperluan yang tidak mencukupi ataupun mengganti rumah keluarga yang telah usang dan tidak selamat diduduki.

Kem-kem yang terlibat dalam projek ini adalah:
Kem Oran, Kangar, Perlis.
Kem Tok Jalai, Alor Setar, Kedah.
Kem Bt Melintang, Jeli, Kelantan.
Kem Desa Pahlawan, Kota Bharu, Kelantan.
Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan.
Kem Semenggo, Kuching, Sarawak.
Kem Pakit, Sri Aman, S arawak.
Kem Bt 10, Sibu, Sarawak.
Kem Sri Miri, Miri, Sarawak.
Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah

Setakat ini pihak kerajaan telah meluluskan peruntukan berjumlah hampir RM1.1 bilion untuk pembinaan rumah keluarga baru ini. Beliau juga turut berharap agar kesemua projek ini akan dapat disiapkan dalam masa 2 ke 3 tahun yang akan datang.

No comments:

Post a Comment

komen² anda akan dipublish setelah disahkan..

terima kasih daun keladi..
esok² sudi la komen lagi..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...