Full Width CSS

Justo Mengaku Salah & Hukuman Diputuskan Minggu Hadapan #1MDB


Xavier Andre Justo, warga Switzeland yang ditahan di Thailand, pada Jun lepas kerana didakwa memeras ugut bekas majikannya, Petro Saudi International, mengaku salah dan boleh dikenakan hukuman penjara seawal minggu depan.

Peguam Justo, Dr Marc Henzelin yang berpengkalan di Geneva berkata, beliau dimaklumkan bahawa hukuman penjara itu mungkin antara enam bulan hingga satu setengah tahun.

“Akan ada pendengaran secara teori yang akan diadakan minggu depan atau mungkin dalam masa 10 hari. Dia akan dihukum dengan segera.

“Di bawah perjanjian antara Thailand dan Switzerland, jika Justo dihukum penjara kurang daripada setahun, dia boleh dipindahkan dan menjalani hukuman di Switzerland. Tetapi jika dia terpaksa menjalani hukuman itu di Thailand, Justo akan menerimanya,” katanya kepada akhbar The Straits Times (ST) Singapura.

Xavier Andre Justo mengaku salah memeras ugut bekas majikannya.

Dr. Henzelin berkata, hakikat bahawa Justo telah membuat pengakuan dan bekerjasama dengan polis akan dipertimbangkan oleh hakim.

Penahanan Justo dibuat di Koh Samui, Thailand, selepas PetroSaudi membuat laporan rasmi terhadap kegiatan peras ugut melibatkan 2.5 juta Swiss Francs dan mengancam mendedahkan maklumat sulit perniagaan yang didakwa dicurinya daripada syarikat itu sekiranya permintaannya tidak dipenuhi.

Berikutan cubaan peras ugut itu, beberapa e-mel dan dokumen telah disiarkan oleh blog Sarawak Report sehingga mencetuskan pelbagai tuduhan terhadap syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Deve­lopment Berhad (1MDB).

Dalam pengakuan yang dibuat kepada The Straits Times (ST) Singapura pada 23 Julai lalu, Justo menerangkan bagaimana dia bertemu dengan kumpulan pembeli di Bangkok dan Singapura untuk menjual data yang dicuri.

Justo bagaimanapun mendakwa bayaran sebanyak US$2 juta kepadanya tidak dibayar pihak terbabit seperti yang dipersetujui.

Pada 24 Julai lalu, pengerusi Kumpulan Media The Edge, Tong Kooi Ong dan penerbit The Edge, Ho Kay Tat mengesahkan mereka bersetuju untuk membeli data curi itu tetapi tidak membuat bayaran kepada Justo.

Post a Comment

0 Comments