Full Width CSS

Mahkmah Tolak Permohonan The Edge Tangguhkan Arahan Penggantungan 2 Penerbitan #1MDB


Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan The Edge Communications Sdn Bhd untuk mendapatkan penangguhan pelaksanaan perintah penggantungan dua penerbitannya selama tiga bulan, oleh Menteri Dalam Negeri.

Hakim Datuk Asmabi Mohamad membuat keputusan itu di dalam kamarnya.

Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke yang mewakili Kementerian Dalam Negeri memberitahu media bahawa hakim menolak permohonan itu atas alasan pihak penerbit berkenaan tidak menunjukkan keadaan khas untuk penangguhan itu dibenarkan.
"Hakim memberi tiga sebab. Beliau berkata semakan itu boleh membawa kepada pemberian ganti rugi; penerbitan itu tidak mewajarkan tuntutan bahawa larangan itu akan mengakibatkan kemudaratan yang tidak boleh diperbaiki kepada mereka; dan mereka tidak menunjukkan sebarang keadaan khas untuk penangguhan itu dibenarkan," katanya.

Pada 5 Ogos, The Edge Communications Sdn Bhd memperoleh kebenaran bagi semakan kehakiman berhubung penggantungan dua penerbitannya, The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily, oleh Kementerian Dalam Negeri.

Bagaimanapun, Hakim Asmabi menolak permohonan syarikat terbabit untuk penangguhan sementara penggantungan kedua-dua penerbitan itu sehingga permohonan inter-parte didengar.

Pada 27 Julai lepas syarikat penerbitan itu memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan Ketua Setiausaha KDN dan Menteri Dalam Negeri sebagai responden.

The Edge Communications Sdn Bhd memohon diberi kebenaran untuk memulakan prosiding mengikut Aturan 53 Kaedah 3 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012 bagi mendapatkan perintah certiorari supaya mahkamah menolak keputusan Menteri Dalam Negeri.

Syarikat penerbitan itu turut memohon suatu perintah interim untuk penggantungan pelaksanaan keputusan sehingga penyelesaian pendengaran permohonan dan kos.

Menteri Dalam Negeri dalam surat bertarikh 23 Julai lepas yang ditandatangani oleh Hashimah Nik Jaafar bagi pihak menteri, telah memaklumkan kepada syarikat itu penggantungan permit penerbitan kedua-dua penerbitan itu.

Berdasarkan surat yang dihantar kepada editor kanan pengurusan syarikat itu, Ahmad Azam Mohd Aris, kementerian memaklumkan bahawa laporan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh The Edge adalah memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan dan kepentingan negara.

Ia juga menyatakan sekiranya gagal mematuhi arahan penggantungan, tindakan pembatalan permit terhadap kedua-dua penerbitan itu akan diambil.

Mahkamah menetapkan 7 Sept untuk mendengar permohonan semakan kehakiman itu.

Post a Comment

1 Comments

komen² anda akan dipublish setelah disahkan..

terima kasih daun keladi..
esok² sudi la komen lagi..