Full Width CSS

Mengapa Penganjur Tak Mahu Ikut Peraturan Akta Perhimpunan Aman 2011? @ahmadmaslan


Berikut merupakan kenyataan terbaharu Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Ahmad Maslan berhubung penganjuran BERSIH 4.0 : -

Ya mengapa? Ramai sedang bertanya. Sila jawab. Mengapa anda tidak ikut peraturan Akta Perhimpunan Aman 2011? Akta yang telah dibentang, dibahas dan diluluskan oleh Parlimen yang wakil-wakil anda ada di situ.
Sangat terang dalam Akta itu bahawa protes dan demonstrasi jalanan adalah dilarang. Kaedah-kaedah permohonan perhimpunan aman juga dinyatakan dan anda boleh berhimpun walau di dalam stadium setelah diluluskan oleh Polis.

Mengapa anda ingin mengganggu peniaga kecil, sederhana dan besar yang ingin mencari rezeki? Mengapa anda ingin merosakkan kegembiraan Rakyat Malaysia dalam Bulan Kemerdekaan? Mengapa anda ingin membimbangkan pelancong yang sekarang sudah datang dan yang ingin datang melihat keindahan Malaysia dan kota raya?

Mengapa anda ingin mengkhuatirkan dan menimbulkan persepsi negatif kepada iklim pelaburan negara?

Bukan senang dan bukan sedikit pelbagai urusan yang diusahakan oleh MITI dan MIDA khasnya dalam menarik pelaburan bagi faedah negara.

Mengapa anda ingin menyusahkan semua rakyat yang ingin menikmati keamanan? Mengapa anda ingin menyusahkan pemandu teksi, pemandu bas dan orang ramai yang ingin menguruskan keluarga? Mengapa anda ingin memberikan imej yang tidak baik di mata dunia seperti yang telah berlaku dalam siri keganasan demonstrasi jalanan sebelum ini?

Mengapa anda tidak memilih untuk terus sahaja berkumpul dalam stadium untuk Bersih 4.0 itu? Adakah kerana jika dalam stadium itu maka nanti tiada aksi kawalan Polis dan tindakan pencegahan yang boleh di"viral"kan dan disensasikan oleh rakan-rakan media anda untuk di sebar ke seluruh dunia?

Atau anda memang menggunakan SOP asing ingin menjatuhkan kerajaan secara tidak sah melalui demonstrasi jalanan? Anda sudah pernah menang di beberapa negeri dalam pilihanraya umum dan menang beberapa pilihanraya kecil. Jika kaedah pilihanraya di Malaysia ini tidak betul, anda tidak akan dapat 88 kerusi daripada 222 kerusi di Parlimen.

Setiap aksi akan berlaku reaksi. Hasrat pelanggaran peraturan anda telah mengundang gerakan anti Bersih. Mereka kata jika anda batalkan protes jalanan, maka NGO-NGO yg berbaju merah itu juga akan membatalkan hasrat mereka. Ramai berharap agar pihak berkuasa segera mengambil tindakan yg perlu. Ingatlah pesanan bahawa mencegah itu lebih baik daripada mengubat.

Hairan...Mengapa anda menamakan diri sebagai Bersih? Walhal ianya dipenuhi dengan kaedah yang kotor. Sekali lagi kami ingin bertanya, jika Bersih itu bersih mengapa anda tidak mengikut peraturan negara ini?

Post a Comment

0 Comments