Monday, October 26, 2015

Bandar Mahkota Lokasi Terbaru Bas Dua Tingkat #RapidKL


Rapid Bus Sdn Bhd, pengendali perkhidmatan bas Rapid KL, hari ini memperkenalkan bas dua tingkat untuk para penduduk Sungai Long dan kawasan sekitar sebagai satu lagi inisiatif untuk meningkatkan keselesaaan para penumpang dan menarik lebih ramai menggunakan perkhidmatan awam.

Dilancarkan oleh Ahli Majlis untuk Majlis Perbandaran Kajang (MPK), Encik John Leong Chiew Sing, Laluan U41, yang menghubungkan Bandar Sungai Long dengan bandaraya Kuala Lumpur, akan akan turut memanfaatkan para penduduk Bandar Mahkota Cheras dan beberapa lagi penempatan utama di sepanjang laluan sepanjang 42km.
Ini termasuk Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) cawangan Sungai Long, kawasan perindustrian Balakong, Taman Rakan, Cheras Jaya, Taman Impian Ehsan, Taming Jaya, Taman Sungai Besi Indah, Stesen KTM Serdang, kawasan perindustrian sepanjang Jalan Chan Sow Lin di Kuala Lumpur, Jalan Pudu sebelum sampai ke hub bas Jalan Silang.

Laluan U41, yang merupakan laluan tradisi Rapid KL sejak ia ditubuhkan pada 2004, akan menggunakan lima bas dua tingkat dan 15 bas satu tingkat untuk memberi perkhidmatan kepada kira-kira 8,000 penumpang setiap hari.

Mengulas inisiatif Rapid KL, Encik Leong berkata langkah memperkenalkan bas dua tingkat untuk Laluan U41 adalah langkah bijak kerana para pengguna perkhidmatan bas semakin meningkat di Kajang khususnya di Bandar Sungai Long dan Bandar Mahkota Cheras. 


“Kedua-dua kawasan ini sedang berkembang pesat dengan jumlah penduduk sekarang yang mencecah 90,000 orang. Kita juga memperkatakan tentang kampus UTAR cawangan Bandar Sungai Long, yang mempunyai tidak kurang daripada 11,000 pelajar dan kakitangan. Banyak daripada mereka menggunakan perkhidmatan bas. Dengan bas dua tingkat, tempoh menunggu adalah lebih pendek kerana ia boleh membawa lebih ramai penumpang,” katanya kepada pemberita selepas majlis berkenaan.

Turut hadir pada majlis pelancaran berkenaan adalah Ketua Pegawai Operasi Rapid KL, Encik Mohd Azam Omar, Pengurus Zon 1 Rapid KL, Encik Khairul Azhar Hamidullah dan Pengurus Depoh Cheras Selatan, Encik Amir Shahid Abdul Rahman.

Laluan U41 adalah laluan kelima yang dipilih oleh Rapid KL untuk menggunakan bas dua tingkat. Selepas Laluan U30 (Pandan Mewah – Hang Lekiu), U40 (Terminal Bas Kajang – Terminal Jalan Silang, Kuala Lumpur), Laluan U80 (Seksyen 2 Shah Alam – Pasar Seni), Rapid KL telah memperkenalkan bas dua tingkat untuk Laluan U64 dari Taman Sri Muda Shah Alam ke Pasar Seni).

Dalam perbincangan dengan Encik Leong, Encik Azam berharap untuk mendapat sokongan daripada pihak MPK untuk menyediakan kemudahan tempat perhentian dan menunggu bas yang sesuai di hadapan kampus UTAR untuk dijadikan hab bas Bandar Sungai Long.

Selain dilengkapi dengan ciri-ciri akses universal untuk kemudahan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan ciri-ciri keselamatan, bas dua tingkat buatan Eropah ini mempunyai kapasiti untuk membawa sehingga 108 penumpang.

Walaupun dua tingkat dengan ciri-ciri moden, tambang yang dikenakan masih sama dengan perkhidmatan bas satu tingkat. Untuk Laluan U41, tambang penuh daripada Bandar Sungai Long ke Jalan Silang, Kuala Lumpur adalah adalah RM3 sahaja. Perkhidmatan bas Laluan U64 bermula 6 pagi dengan bas dua tingkat diselang-selikan dengan bas satu tingkat. Perkhidmatan bas dua tingkat, bagaimanapun, akan berakhir pada 8 malam.

No comments:

Post a Comment

komen² anda akan dipublish setelah disahkan..

terima kasih daun keladi..
esok² sudi la komen lagi..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...