Tuesday, December 29, 2015

#RapidKL Komited Perluaskan Jajaran LRT Bagi Mengimbangi Keperluan Semasa Pengangkutan Awam @MyRapidKL


Seiring dengan status negara maju menjelang 2020, pelbagai usaha dan penambahbaikan dilakukan oleh kerajaan dalam memastikan kemudahan prasarana termasuk pengangkutan awam dapat dinikmati rakyat dengan selesa dan efisien.

Menjelang pertengahan tahun hadapan, rakyat Malaysia khususnya warga Kuala Lumpur bakal menikmati kemudahan Transit Aliran Ringan (LRT) di beberapa kawasan baharu selepas penambahan 25 stesen meliputi Laluan Ampang dan Kelana Jaya. Rapid Rail Sdn. Bhd. yang bernaung bawah jenama Rapid KL merupakan anak syarikat Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd. sangat komited dalam menaik taraf keperluan pengguna LRT dengan meluaskan jaringan laluan bagi memudahkan pengguna berhubung ke kawasan yang ingin dituju bermula dari kawasan Lembah Subang sehingga ke Putra Heights, Subang Jaya, Selangor.
Selain Rapid Rail, Rapid Bus Sdn. Bhd. turut berada bawah jenama Rapid KL. Ikuti wawancara yang dikelolakan oleh wartawan Kosmo! Ahad, MOHAMMAD SHAHEMY AZMI bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Rapid Rail, Ahmad Nizam Mohamed Amin di pejabatnya di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.


Boleh jelaskan peranan tuan dalam organisasi sebagai CEO Rapid Rail?

Di Rapid Rail, peranan saya ialah menguruskan operasi dan penyelenggaraan LRT dan juga sistem KL Monorel. Untuk LRT, saya bertanggungjawab mengurus dua laluan iaitu Laluan Ampang dan Laluan Kelana Jaya. Serta yang terbaharu, kami sedang membuat persediaan bagi operasi Mass Rapid Transit (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang.

Dalam organisasi, saya perlu memastikan segala aspek operasi dan penyelenggaraan berada pada tahap terbaik setiap hari dan kakitangan bawah seliaan saya perlu bersedia untuk menangani apa jua masalah. Selain daripada operasi biasa harian, kami juga perlu membuat persediaan untuk hari-hari tertentu seperti Hari Kemerdekaan dan sambutan Tahun Baharu kerana jumlah penumpang akan meningkat secara mendadak pada waktu tersebut.

Bagaimana tuan menghadapi cabaran dalam menjalankan tugas untuk memastikan ketiga-tiga sistem ini beroperasi dengan baik?
Persediaan awal dan teliti sangat penting sewaktu menjalankan tugas kerana ia melibatkan banyak pihak, terutamanya beribu-ribu pengguna LRT setiap hari. Kita sentiasa berusaha untuk memperbaiki kelemahan sebelum ini dan sentiasa mencari jalan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan.

Saya juga sentiasa memberi galakan kepada kakitangan agar memperkenalkan inovasi baharu bagi meningkatkan kecekapan operasi dan penyelenggaraan. Selain itu, hubungan baik antara saya dengan kakitangan juga penting untuk memastikan setiap urusan berjalan mengikut jadual.

Sebagai pemimpin dalam organisasi, saya sedaya upaya cuba untuk mengenali setiap kakitangan dan bersedia mendengar sebarang masalah atau cadangan yang mereka kemukakan.

Bagaimana tuan melihat kelebihan yang ada pada sistem pengangkutan awam seperti LRT di Malaysia berbanding negara lain?

Kelebihan paling ketara yang saya lihat ialah sistem tren tanpa pemandu bagi Laluan Kelana Jaya. Malaysia adalah antara negara terawal yang mempelopori sistem tren tanpa pemandu sebelum ia menjadi ikutan di negara-negara lain.

Negara maju seperti Jepun sendiri pernah mengutarakan hasrat untuk belajar cara-cara pengendalian sistem tren tanpa pemandu yang telah diguna pakai di Malaysia sejak 1998. Mereka kagum dengan perkhidmatan tren di negara ini yang dianggap sebagai sistematik dan canggih.

Apakah signifikan yang menjadi keutamaan pembinaan sistem Monorel dibina di Kuala Lumpur dan perbezaan antara LRT dan Monorel?

Perbezaan ketara adalah dari segi kos pembinaan Monorel yang lebih murah berbanding LRT. Monorel lebih bersifat fleksibel terutamanya ketika melalui selekoh-selekoh tajam dan menghubungkan jarak yang dekat dari satu kawasan ke kawasan lain. Namun begitu, kekurangan Monorel adalah dari segi kapasiti penumpangnya yang terhad.


Dari segi keselamatan pengguna, bagaimana Rapid Rail berusaha menjaga keselamatan setengah juta warga kota yang menggunakan perkhidmatan LRT setiap hari?

Keselamatan para pengguna merupakan keutamaan kami. Kehadiran polis bantuan di stesen merupakan antara ciri keselamatan yang digunakan untuk memastikan penumpang terhindar daripada unsur-unsur jenayah. Selain itu, kawalan keselamatan menerusi televisyen litar tertutup (CCTV) turut dipertingkatkan di semua stesen LRT.

Pemeriksaan, pemantauan tren dan landasan turut dilakukan secara berkala bagi memastikan tidak berlaku sebarang masalah terhadap operasi dan perjalanan pengguna. Kita mempunyai tenaga kerja dalam kalangan juruteknik dan jurutera berkemahiran yang diberi latihan terbaik bawah seliaan Akademi Rel. Beberapa kursus bawah Skim Latihan Dua Negara yang ditawarkan oleh Akademi Rel kami turut diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia.

Menjelang pembukaan stesen-stesen LRT baharu pada pertengahan tahun hadapan, adakah ia mampu mengurangkan kadar kesesakan di ibu kota?

Untuk makluman, Prasarana Malaysia bakal membuka 25 stesen baharu melibatkan Laluan Ampang dengan jarak 18.1 kilometer (km) dan Laluan Kelana Jaya sejauh 17.4km menjelang pertengahan tahun depan. Penambahan stesen LRT ini akan membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur walaupun kesannya tidak akan dirasai serta-merta.

Hal ini kerana, kita perlu akui bahawa masih terdapat kekurangan jaringan pengangkutan awam untuk membawa penumpang dari sesetengah kawasan ke sesuatu lokasi tertentu. Selain itu, pertambahan penduduk ke Kuala Lumpur, selain peningkatan jumlah kereta di atas jalan menyukarkan usaha untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas.

Namun begitu, jumlah penumpang yang bakal menggunakan perkhidmatan LRT dijangka meningkat daripada 530,000 orang atau kira-kira 13 peratus setiap hari kepada 600,000 orang sebagai permulaan. Bagi memastikan perjalanan penumpang terkawal seiring dengan jumlah peningkatan pengguna, 50 buah tren enam gerabak telah diperuntukkan di Laluan Ampang, manakala sejumlah 74 tren empat gerabak pula di Laluan Kelana Jaya dengan masing-masing mampu memuatkan 980 dan 720 orang penumpang pada satu-satu masa.

Mengapakah pengangkutan awam di Kuala Lumpur terutamanya LRT, Monorel dan Bas Rapid tidak menjadi pilihan utama bagi kebanyakan penghuni kota berbanding Jepun dan Korea Selatan?

Pengangkutan awam yang sedia ada sekarang masih belum menjadi pilihan sebagai nadi pengangkutan utama warga kota kerana jaringan laluan yang masih belum meliputi banyak kawasan di sekitar Kuala Lumpur.

Walaupun pengguna boleh menggunakan perkhidmatan lain seperti bas untuk menyambung perjalanan masing-masing, namun masa perjalanan banyak bergantung dengan keadaan trafik semasa. Tidak seperti di Tokyo mahupun di Seoul, jaringan laluan tren negara itu meliputi hampir keseluruhan kawasan bandar. Maka ia tidak menguntungkan untuk orang ramai menggunakan 
kenderaan persendirian.


Bagaimana tuan melihat perubahan sistem pengangkutan awam di Malaysia untuk tempoh 10 tahun akan datang?

Saya melihat antara perubahan ketara yang akan berlaku dalam tempoh 10 tahun akan datang adalah dengan penambahan jumlah laluan LRT yang meliputi jaringan laluan yang lebih menyeluruh.

Keupayaan teknologi juga akan menjadi semakin baik dengan tenaga pakar, jurutera dan juruteknik lebih profesional. Sekarang, kita masih berada di peringkat awal untuk memperkasakan sistem pengangkutan LRT.

Bagaimanapun kami di Prasarana Malaysia berusaha untuk menjadikan sistem rel ini sebagai sebahagian gaya hidup warga kota. Usaha-usaha giat dilakukan untuk menaik taraf stesen LRT dan mewujudkan kemudahan-kemudahan lain di sekitarnya seperti pejabat, perumahan dan pusat beli-belah agar ia berfungsi sebagai sebuah stesen yang menyediakan pelbagai kemudahan.

Apakah harapan pihak Rapid Rail terhadap pembaharuan yang dibuat pada hari ini terutama untuk memenuhi keperluan rakyat Malaysia?

Harapan saya mewakili Rapid Rail dan Kumpulan Prasarana Malaysia adalah supaya orang ramai terutama penghuni kota mencuba kemudahan pengangkutan awam sedia ada sebagai pilihan utama.

Penggunaan pengangkutan awam bukan sahaja dapat mengurangkan kesesakan jalan raya, bahkan lebih bersifat mesra alam dengan mengurangkan pencemaran asap kenderaan.

Selain menjamin keselesaan dan menjimatkan masa, pengguna juga dapat menjimatkan kos sara hidup yang selama ini dibelanjakan untuk petrol, tol dan parkir kereta.


Sumber : Kosmo

1 comment:

  1. SPAD bila nak tamatkan perkhidmatan bas besi buruk.Hantar wakil turun padang buat pemantauan ttg perkhidmatan Metro bas besi buruk.Sejak Metrobas besi buruk ambilalih laluan Puchong bukan menyenangkan pengguna tapi makin menyusahkan org ramai.Perancangan pandai buat tapi pemantauan tak buat.Aku rasa kalau ajak menteri naik bas Metropun mungkin dia akan fikir 10x.

    ReplyDelete

komen² anda akan dipublish setelah disahkan..

terima kasih daun keladi..
esok² sudi la komen lagi..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...