Full Width CSS

Rayuan Ibu Mohon Bantuan Biayai Pembedahan Anak


Saya merayu bantulah kami membiayai kos pembedahan anak saya. Dia perlu dibedah segera jika tidak, nyawanya mungkin terancam,” itu rayuan Roziyana Abd Razak, 32, ibu kepada Muhammad Daiyan Faris Rayyan Khaire berusia setahun sebulan.

Ibu muda itu tidak sanggup lagi melihat penderitaan bayinya yang menghidap penyakit lebihan cecair dalam otak (hydrocephalus) menyebabkan kepalanya membesar sehingga 55 sentimeter dan masalah saluran darah antara otak ke jantung tidak normal sejak berusia lapan bulan.
Roziyana berkata, setiap kali menahan kesakitan, urat pada bahagian kepala, dahi dan muka Daiyan akan kelihatan timbul dan ketika itulah perasaannya sebagai seorang ibu tersentuh dengan penderitaan dialami anaknya itu.

“Saya tidak sampai hati melihat Daiyan terbaring lemah dan kerap menangis menahan sakit. Hati saya luluh serta bimbang memikirkan nyawanya terancam jika pembedahan tertangguh lagi kerana masalah kewangan,” katanya.

Menurut Roziyana, anak bongsu daripada empat beradik itu perlu menjalani pembedahan membetulkan saluran darah kali ketiga dijangkakan pada 11 Januari depan bagaimanapun mereka sekeluarga tidak mempunyai wang untuk membiayai kos berkenaan.

“Wang simpanan kami sudah habis digunakan untuk kos rawatan sepanjang berada di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum ini. Kami bersyukur beban menanggung kos pembedahan pertama dan kedua berjumlah RM35,000 sebelum ini menjadi ringan dengan bantuan masyarakat dan pihak lain.

“Untuk pembedahan ketiga bulan depan saja, saya masih perlukan kira-kira RM15,400 malah selepas ini Daiyan perlu lagi menjalani beberapa pembedahan bagi mengeluarkan cecair di dalam kepalanya pula.

“Saya dimaklumkan, anggaran keseluruhan kos beberapa pembedahan serta rawatan dan pemeriksaan setiap bulan berjumlah hampir RM100,000,” katanya di rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jelatek di sini, semalam.

Menurutnya, dia tidak bekerja dan hanya bergantung harap kepada suaminya Khaire Abd Karim, 32 sebagai operator panggilan di sebuah syarikat keselamatan bangunan di ibu kota dengan pendapatan RM1,700 sebulan.

Orang ramai yang bersimpati boleh menghubungi Roziyana di talian 012-9733805 atau menyumbang ke akaun Maybank atas nama Roziyana Abd Razak bernombor 514495690786.

Post a Comment

0 Comments