Thursday, January 14, 2016

RapidKL Respon Aduan Pengguna Mengenai Pertukaran Laluan Bas Sewenang²nya @MyRapidKL


KAMI merujuk kepada tulisan DAH PENAT, yang disiarkan oleh pihak tuan pada 7 Januari 2016 yang menyentuh tentang operasi bas Rapid KL untuk perkhidmatan sekitar Ampang ekoran daripada urusan penstrukturan semula laluan bas untuk Lembah Klang.

Sementara pihak Rapid KL dapat merasakan kesulitan peribadi yang dialami oleh pembaca, urusan penstrukturan semula laluan bas Rapid KL adalah satu inisiatif yang holistik dalam usaha jangka masa panjang kerajaan untuk meningkatkan perkhidmatan menyeluruh perkhidmatan bas di seluruh kawasan Lembah Klang.

Sebagaimana apa jua urusan dilaksanakan, tiada satu program yang akan sempurna sepenuhnya khususnya di peringkat awal pelaksanaannya. Sebagai satu inisiatif menyeluruh, akan terdapat sebilangan kecil yang menerima impak tidak begitu menyenangkan khususnya dalam usaha kerajaan meletakkan kepentingan menyeluruh dan melaksanakan agenda yang lebih besar.

Perlu ditegaskan bahawa urusan penstrukturan, yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sebagai agensi yang bertanggungjawab untuk segala urusan berhubung dengan hal-hal pengangkutan awam, telah mengambil kira pelbagai aspek termasuk kepentingan kesemua pemegang taruh dalam industri ini untuk kebaikan jangka masa panjang.

Ini tidak hanya melibatkan Rapid KL, tetapi juga penyedia perkhidmatan bas henti-henti yang lain. Ia bukan saja untuk manfaat pada masa terdekat; tetapi kepentingan jangka masa panjang.

Justeru, impak positif yang menyeluruh akan hanya dilihat selepas satu tempoh tertentu. Program ini perlu diberi peluang untuk berjalan. Pihak Rapid KL dan SPAD sentiasa berganding bahu dalam usaha meningkatkan tahap perkhidmatan bas awam dan memantapkan keselesaan untuk pengguna.

Merujuk kepada pengenalan Laluan T300 di bawah penstrukturan semula itu, sektor laluan dipendekkan dari segi jarak jauh perjalanan tetapi dikembangkan dari segi liputan kawasan untuk memanfaatkan populasi yang lebih besar.

Merujuk pula kepada komen penulis terhadap Jabatan Komunikasi dan Perhubungan Awam Rapid KL, perlu ditekan di sini bahawa inisiatif penstrukturan semula laluan bas ini melibatkan semua operator bas awam di Lembah Klang.

Kerana itu, telah dipersetujui bahawa segala urusan berhubung dengan publisiti tentang program ini dikendalikan oleh SPAD, sebagai agensi payung kepada semua operator bas awam ini. Justeru, tiada pengumuman dan siaran media telah dikeluarkan oleh mana-mana syarikat secara individu bagi menggelakkan kekeliruan. Bayangkan setiap syarikat membuat pengumuman tentang laluan masing-masing.


Apapun, pihak Rapid KL berkeyakinan penuh dengan langkah SPAD dalam program penstrukturan laluan bas dalam usaha untuk meningkatkan tahap perkhidmatan bas awam di Lembah Klang. Ini adalah inisiatif yang penting dalam usaha memantapkan perkhidmatan keseluruhan bas ganti-ganti di Lembah Klang.

Bagi pihak Rapid KL, kami sentiasa mengalu-alukan komen-komen positif daripada pengguna bagi meningkatkan tahap perkhidmatan ini. Namun, oleh kerana penetapan laluan adalah bidang kuasa penuh SPAD, kami perlu berbincang dengan pihak suruhanjaya sebelum sebarang perubahan laluan boleh dilaksanakan.

Tetapi, perlu ditegaskan, terdapat banyak faktor perlu dipertimbangkan sebelum ia dapat dilakukan. Malahan, penstrukturan ini dilakukan oleh SPAD selepas memberi pertimbangan yang menyeluruh tentang impak jangka masa panjang daripada pelaksanaan urusan ini.

Setakat ini, SPAD sentiasa bersikap terbuka dan beberapa laluan telahpun diubah dalam misi kami untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih baik. Dan, seperti pelaksanaan asal, ia menjemput komen-komen lain kerana ini akan memberikan kesan yang berbeza. 

Tiada satu perkara yang bebas daripada impak dan implikasi. Kita hanya perlu memastikan ia keputusan yang sebaik mungkin dan memanfaatkan pengguna yang seramai mungkin di samping turut mengambil kira implikasi kos dan guna tenaga.

Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk menyarankan pengguna agar mengemukakan komen dan pandangan terus kepada kami di suggest@rapidkl.com.my atau menelefon 03-78852585

MOHD. AZAM OMAR
Ketua Pegawai Operasi Rapid Bus Sdn. Bhd.

1 comment:

  1. mcm celaka punya bas...loceng pon rosak x function...hbs tu nk turun kajang kene lajak smpi ke shah alam lah..?gitu??
    tmpt byr touch n go asik rosak brmslh...mmg citernye customer xkn byrlah...br puas ati mcm tu..
    bangla nepal indon myanmar berhimpit cam sardin kat dlm bas tu...elok sgtlah...skrg citernye dok kat negara msia ke india??patut ke lps ni dok kat atas bumbung bas plak???!!!

    ReplyDelete

komen² anda akan dipublish setelah disahkan..

terima kasih daun keladi..
esok² sudi la komen lagi..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...