Wednesday, February 3, 2016

Penunggang & Pembonceng Motosikal Terus Mencatatkan Jumlah Kematian Tertinggi Saban Tahun - @AKaprawi


KEMPEN KESELAMATAN JALAN RAYA SEMPENA SAMBUTAN PERAYAAN TAHUN BARU CINA 2016  PERINGKAT WILAYAH PERSEKUTUAN MAJLIS KESELAMATAN JALAN RAYA WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR

Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2016 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang diadakan pada hari ini, 03 Februari 2016, merupakan aktiviti tahunan Majlis Keselamatan Jalan Raya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Tujuan mengadakan kempen ini adalah untuk memberi peringatan serta menasihati semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya semasa meraikan hari perayaan ini.

Sepertimana yang kita sedia maklum setiap kali menyambut perayaan, sebahagian besar warga kota akan meninggalkan Kuala Lumpur untuk pulang ke kampung masing-masing untuk merayakan bersama dengan sanak saudara dan melancong bersama keluarga di tempat-tempat peranginan sempena cuti perayaan yang panjang.

Sehubungan dengan itu, bilangan kenderaan yang meninggalkan Kuala Lumpur adalah tinggi dan semua jalan raya akan menjadi sesak memandangkan ramai yang akan keluar secara serentak. Kesesakan juga akan berlaku di lebuh raya dan serta di tempat-tempat lain, terutamanya di pekan-pekan kecil.


Dengan keadaan jalan raya yang penuh sesak ini ada diantara pengguna jalan raya yang tidak sabar dan akan memandu secara melulu dan tidak bertimbang rasa terhadap pengguna jalan raya yang lain.

Tindakan mereka ini boleh mengakibatkan kemalangan jalan raya yang serius dan menjadikan jalan raya bertambah sesak. Hal ini sering berlaku di setiap hari menjelang perayaan dan masih ada yang tidak menghiraukan keselamatan pengguna jalan raya yang lain ataupun diri mereka sendiri walaupun telah diberi peringatan melalui kempen –kempen dari siaran radio, televisyen dan media masa.

Perayaan seharusnya disambut dengan riang dan bukan sebaliknya. Penantian ahli keluarga yang menyambut kedatangan sanak saudara sangatlah bermakna dalam suasana keriangan. Janganlah ia jadikan sebagai sambutan perayaan yang disambut dengan muram dan pilu. Elakkan kemalangan di jalan raya bagi menghindari suasana tersebut.

Walaupun ramai warga kota yang akan meninggalkan Kuala Lumpur semasa perayaan ini, tetapi masih ada yang akan merayakan perayaan tersebut di Kuala Lumpur. Mereka ini merupakan, anak tempatan atau mereka yang telah menganggap dan menjadi Kuala Lumpur sebagai “kampung” mereka. Tidak dinafikan ada juga yang datang ke Kuala Lumpur untuk menyambut hari raya dan bercuti.

Data kemalangan di Kuala Lumpur yang dilaporkan oleh Polis Diraja Malaysia terdapat sebanyak 63,535 kes kemalangan bagi tahun 2014 dan 47,942 kes sehingga September tahun 2015. Berdasarkan perangkaan kemalangan Jalan Raya Musim Perayaan (OPS SIKAP) dan OPS SELAMAT TAHUN (2014-2015) terdapat peningkatan sebanyak 40 kematian iaitu daripada 159 kepada 199 kematian

Kempen-kempen keselamatan jalan raya yang dijalankan oleh MKJR Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur antara lain adalah untuk meningkatkan tahap kesedaran pengguna jalan raya terhadap keselamatan semasa di jalan raya.

Kempen yang diadakan pada hari ini diharapkan akan dapat membantu mencapai matlamat untuk mengurangkan kemalangan jalan raya serta kematian akibat darinya. Semoga perayaan tahun ini dapat disambut dengan lebih meriah lagi dari tahun-tahun sebelumnya.

Selain dari itu, MKJR WPKL mengambil perhatian bagi meningkatkan keselamatan jalan raya iaitu tidak membawa lebih muatan, seperti membawa lebih penumpang , menasihatkan kepada penunggang dan pembonceng motosikal untuk menggunakan kenderaan perkhidmatan awam kerana berdasarkan statistik kematian Malaysia tahun 2014, dari jumlah 6,674 kematian pengguna jalan raya, 62.6% daripadanya adalah penunggang dan pembonceng motosikal.

Pihak kerajaan memandang serius terhadap kemalangan jalan raya dan jumlah kematian akibat darinya yang tinggi setiap tahun . pelbagai kempen keselamatan jalan raya serta penguatkuasaan undang- undang telah telah dilaksanakan terutamanya bagi memastikan penumpang kenderaan di tempat duduk belakang memakai tali pinggang keledar. Melarang berhenti di lorong kecemasan tanpa sebab atau menggunaan lorong kecemasan kerana ianya dikhaskan bagi kerosakan kenderaan sahaja dan memberi bantuan kecemasan seperti bomba, polis dan ambulans untuk melaluinya.

Segala usaha yang dijalankan bagi membendung masalah kemalangan jalan raya akan menjadi sia-sia sahaja jika sikap pengguna jalan raya tidak berubah. Dengan slogan ‘HATI-HATI DALAM PERJALANAN, SELAMAT KE DESTINASI’ Majlis Keselamatan Jalan Raya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ingin menasihatkan supaya semua pengguna jalan raya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya Semasa Sambutan Perayaan Tahun baru Cina 2016.


YB. DATUK AB AZIZ KAPRAWI
Timbalan Menteri Pengangkutan
3 Februari 2015
Plaza Tol Plus Sg. Besi

No comments:

Post a Comment

komen² anda akan dipublish setelah disahkan..

terima kasih daun keladi..
esok² sudi la komen lagi..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...