Full Width CSS

11,897 Banduan Jalani Perintah #Parol Sehingga Hari Ini


Seramai 11,897 banduan selesai menjalani pemulihan di luar tembok penjara di bawah sistem parol sejak 2008, kata Ketua Pengarah Penjara Malaysia Komisioner Jeneral Datuk Seri Zulkifli Omar.

Beliau berkata jumlah semasa banduan yang sedang menjalani perintah parol sehingga hari ini adalah 543 orang.

"Sejak dilaksanakan, hanya segelintir Orang Diparol yang selesai menjalani pelepasan secara Perintah Parol, mengulangi jenayah dan masuk semula ke penjara.

"Pencapaian ini amat baik jika dibanding dengan pencapaian negara luar yang melaksanakan sistem sama," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya kejayaan sistem parol yang dilaksanakan jabatan itu bergantung kepada pelbagai aspek termasuk penerimaan semula oleh keluarga, masyarakat, penglibatan masyarakat dalam program pemulihan bersama Orang Diparol dan peluang pekerjaan.

Zulkifli berkata lebih 90 peratus daripada Orang Diparol tinggal bersama keluarga namun, mereka yang tidak mempunyai keluarga atau tempat tinggal ditempatkan di Rumah Perantaraan Jabatan Penjara dan rumah yang disediakan badan bukan kerajaan (NGO).

Beliau menjelaskan bahawa dosir atau laporan semua banduan yang layak dari segi pencapaian pemulihan, kesalahan dan tempoh pemenjaraan yang dilalui seperti ditetapkan Akta Penjara akan dikemukakan kepada Lembaga Parol untuk dipertimbang.

Pelepasan secara Perintah Parol bermaksud Orang Diparol masih terikat dengan baki tempoh hukuman yang perlu dijalani serta syarat yang perlu dipatuhi dan ianya bukan bermaksud pembebasan sepenuhnya.

Zulkifli berkata berdasar syarat dan proses pertimbangan sama, Lembaga Parol telah memberi pelepasan secara Perintah Parol kepada bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo semalam.

Pelepasan itu diberi selepas Dr Mohamad Khir menjalani hukuman penjara enam bulan atas kesalahan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh tanah dan sebuah banglo di Shah Alam, sembilan tahun lepas.

Antara syarat parol adalah beliau mesti berada di sekitar Shah Alam dan Petaling Jaya sepanjang tempoh parol dua bulan itu serta mesti berada di rumah antara 7 malam hingga 7 pagi.

Post a Comment

0 Comments