Full Width CSS

ADUN Sekinchan Langsung Tak Minat Layan Isu Nelayan Ditangkap Pihak Indonesia #PRKSgBesar #SCS93


Pembangkang tidak akan menduga atau percaya sama sekali bahawa dua nelayan di sini yang ditahan pihak berkuasa Indonesia Mac lalu berjaya dibebaskan dengan bantuan Barisan Nasional (BN).

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos berkata, sejarah yang terlakar pada petang Khamis menunjukkan bahawa kerajaan telah menunaikan tanggungjawab terhadap rakyat khususnya kumpulan nelayan di sini.

Katanya, ini berbeza dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekinchan Ng Suee Lim yang turut didatangi kumpulan nelayan di sini untuk meminta bantuan berhubung kes ini tetapi tidak dapat memberi sebarang bantuan.
“Dia langsung tak terlibat walaupun saya dimaklumkan nelayan-nelayan ada minta bantuan dan sebagainya, beliau menyatakan ini tanggungjawab kerajaan pusat, bukan di bawahnya.

“Saya anggap kenyataan beliau itu langsung tak bertanggungjawab dan saya yakin pihak beliau tak percaya apa yang berlaku pada hari ini. Beliau tak akan menduga apa yang sudah berlaku ini,” katanya kepada pemberita di jeti nelayan Pantai Redang di sini, Khamis.

Beliau ditemui selepas menyambut dua nelayan Sekinchan Chua Lee teck, 45 dan Heng Chee Yong, 29 yang dibebaskan pihak berkuasa Indonesia dan tiba dengan dengan bot nelayan, kira-kira pukul 5.25 petang Khamis.

Jamal berkata, usaha membawa pulang dua tahanan ini sudah dibuat sejak Mac lalu, justeru tidak ada sebab untuk pembangkang mendakwa ia dilakukan semata-mata bagi meraih undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar, 18 Jun ini.

“Saya sudah maklumkan dari awal, sejak 4 Mac usaha ini telah dilakukan dan kebetulan PRK berlaku pada Jun, tak ada sebab pembangkang nak kaitkan ini dengan PRK.

“Paling mustahak usaha berterusan kami di peringkat pimpinan bahagian dan sokongan kuat daripada perdana menteri, timbalan perdana menteri dan menteri-menteri lain, hari ini kita lihat Datuk Seri Shahidan Kassim pun ada dan beliau sungguh teruja dengan apa yang berlaku,” katanya.

Ditanya sama ada terdapat syarat yang dikenakan oleh kerajaan Indonesia berhubung pengampunan dan pembebasan ini, Jamal berkata, ia berlaku tanpa syarat kerana hubungan baik Malaysia dan pemimpinnya dengan kerajaan Indonesia.

Malah, beliau juga memberi jaminan bahawa bot yang dirampas semasa penahanan itu akan dikembalikan semula.

“Tak ada syarat. Istimewa kerana hubungan baik antara kerajaan Malaysia dan Indonesia, hubungan baik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Presiden Indonesia Joko Widodo.

“Bot-bot juga akan dikembalikan. Ini pengampunan khas yang tak terikat. Saya sudah maklumkan kepada tauke-tauke bot ini supaya terus datang ke Batam dan berurusan untuk bawa pulang bot tersebut,” katanya.

Dalam pada itu Jamal turut berterima kasih kepada kerajaan Indonesia dan presidennya kerana mempertimbangkan bukti-bukti yang dilampirkan sehingga membawa kepada pembebasan dua tahanan tersebut.

Sumber : MStar

Post a Comment

0 Comments