Full Width CSS

LRT #AmpangLine Ditutup Sementara Pada Hari Raya Kedua & Ketiga #RapidKL


Perkhidmatan LRT Laluan Ampang akan digantung sementara pada 7,8, dan 16 Julai 2016 bagi memberi laluan kepada kerja-kerja menaik taraf dan proses penghijrahan sistem semboyan tren.

Bermula 17 Julai 2016, pengguna boleh menikmati perjalanan secara terus dan lancar antara Stesen Putra Heights dan Sentul Timur dengan tren baru 6 gerabak AMY yang telah ditauliah untuk menggantikan tren LRT sedia ada yang kini hampir mencecah usia 20 tahun. 

“Penggantungan sementara perkhidmatan ini perlu bagi membolehkan proses naik taraf dan penghijrahan sistem semboyan sedia ada kepada sistem CommunicationBased Train Control (CBTC) atau sistem kawalan tren berasaskan komunikasi yang terbukti lebih efisen dan lebih selamat.

“Kami memutuskan untuk memilih tarikh 7 dan 8 Julai yang dijangka merupakan hari kedua dan ketiga sambutan Aidilfitri serta disusuli pada 16 Julai 2016 bagi mengurangkan kesan dan kesulitan kepada pengguna,” menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, Ahmad Nizam Mohamed Amin. 

Sepanjang tempoh penggantungan, perkhidmatan bas pengantara PERCUMA akan disediakan antara jam 6 pagi dan 12 tengah malam untuk membawa penumpang sepanjang stesen LRT Laluan Ampang dan Laluan Sri Petaling ke Hab Bas Rapid KL Pasar Seni. 

Maklumat terperinci mengenai bas pengantara akan dimaklumkan kelak. Menurut Ahmad Nizam, 

“Pengguna yang ingin ke pusat bandar Kuala Lumpur dari Putra Heights tidak perlu lagi menukar tren di stesen LRT Sri Petaling setelah kerja-kerja menaik taraf dan penghijrahan sistem semboyan dapat dilaksanakan kelak. 

“Pengguna juga akan dapat menikmati kelesaan perjalanan antara Putra Heights dan Sentul Timur dengan menaiki tren baru AMY”. 

“Walau bagaimanapun, sementara menunggu proses penggantian tren baru selesai pada Disember 2016, tren akan berpatah balik di stesen Bandar Tasik Selatan secara berselang seli ketika waktu puncak pagi dan petang antara 7 pagi hingga 9 pagi dan 5 petang hingga 7 petang bagi menampung pemintaan yang tinggi pada waktu puncak,” menurut Ahmad Nizam.

Dengan siapnya kerja menaik taraf dan migrasi sistem semboyan ini kelak, Rapid Rail akan memperkenalkan mod operasi baru iaitu LRT Laluan Sri Petaling yang akan dikhususkan untuk perkhidmatan LRT antara Putra Heights dan Sentul Timur manakala LRT Laluan Ampang dikhususkan hanya bagi perkhidmatan LRT antara Ampang dan Chan Sow Lin. 

“Pengguna dari Ampang yang ingin menuju ke Sentul Timur atau Putra Heights perlu menukar dan mengambil tren Laluan Sri Petaling di stesen Chan Sow Lin bermula pada 17 Julai 2016.

“Papan tanda informasi akan dipasang serta pengumuman juga akan turut dibuat. Pengguna yang ingin ke Putra Heights dari Chan Sow Lin akan menaiki tren dari Platform 1, manakala bagi destinasi ke pusat bandar pula pengguna perlu menaiki tren dari Platform 2A dan 2B.

Post a Comment

0 Comments