Full Width CSS

Pelukis Grafiti Belanda Kantoi Cuba Conteng LRT #AmpangLine #RapidKL


Polis Bantuan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) memberkas seorang lelaki kerakyatan Belanda yang dipercayai artis grafiti atas kesalahan menceroboh masuk ke Stesen LRT Chan Sow Lin dan cuba merosakkan tren. 

Lelaki berusia 34 tahun itu, yang mengaku daripada kumpulan artis jalanan Woohoo, ditangkap pada pukul 4.30 pagi semalam (Rabu, 22 Jun) dan telah diserahkan ke Balai Polis Pudu, Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.
“Sepasukan Polis Bantuan telah memberkas lelaki berkenaan yang cuba memanjat pagar LRT di kawasan bawah Viaduct, yang terletak berhampiran Balai Polis Pudu. Tertuduh telah dibawa ke Balai Polis Pudu untuk tindakan lanjut. Ketika disoal, tertuduh mengaku bahawa dia adalah daripada Kumpulan Woohoo.


“Turut dirampas daripada beliau adalah pelbagai peralatan yang digunakan untuk tujuan grafiti. Peralatan-peralatan berkenaan termasuk tujuh bekas cat penyembur, sepasang sarung tangan dan empat anak kunci, yang menyerupai kunci pintu tren,” kata jurucakap Prasarana, Encik Lim Jin Aun.

Tambah beliau, Prasarana amat kecewa dengan perbuatan tidak bertanggungjawab ini kerana tindakan sebegini bukan saja bermakna penambahan kos untuk membersihkan tren tetapi turut mengurangkan jumlah tren beroperasi untuk satu tempoh tertentu.

“Syabas kepada pasukan Polis Bantuan yang telah bertindak pantas untuk memberkas tertuduh sebelum dia dapat menjalankan tindakan tidak bertanggungjawab merosakkan tren kami. Tren-tren yang diconteng akan terpaksa dihantar untuk kerja-kerja pembersihan dan proses pengecatan semula bahagian yang terconteng. Ini bermakna jumlah tren akan kurang dalam operasi harian kami,” tambah beliau.

Post a Comment

0 Comments