Full Width CSS

Tahniah Prasarana Berjaya Melancarkan Pergerakan Ratusan Ribu Jemaah Haji Tahun Ini @AzmiAziz @NajibRazak


Perkhidmatan tren Al Ma­shaa­er Al Mugaddassah Metro Souhern Line (MMMSL) di Mekah kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) yang berakhir kelmarin, berjalan tanpa sebarang masalah.

Pengarah Urusannya, Ahmad Jamaluddin Salleh berkata, operasi yang bermula 9 September lalu menyediakan perkhidmatan tren untuk kemudahan lebih 350,000 orang jemaah haji dari negara-negara Teluk dan Asia Selatan menjalankan ibadah haji.
“Dengan laluan 18.1 kilometer melalui sembilan stesen, MMMSL menghubungkan lokasi-lokasi lokasi penting rukun haji – Arafah untuk ibadat wukuf, Muzdalifah, Mina dan Jamrah yang menjadi tempat untuk ibadat melontar yang mula diperkenalkan pada 2010 dan Prasarana dianugerahkan kontrak tiga tahun untuk mengendalikan operasi dan penyelenggaraan bermula tahun lepas.

“Alhamdulillah, operasi haji pada tahun ini berjalan lancar dengan hanya beberapa insiden kecil berlaku. Kami dimaklumkan bahawa ramai jemaah menyatakan bahawa operasi tahun ini adalah antara yang terbaik dalam sejarah operasi MMMSL,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sepanjang tempoh perkhidmatan tersebut, sistem tren, elektrik dan isyarat tidak mengalami apa-apa kegagalan yang serius.

“Komitmen staf adalah pada tahap yang tinggi sehingga ke jam terakhir khususnya dalam urusan mengawal jemaah pada waktu puncak.

“Semoga momentum ini akan dapat diteruskan dan kejayaan tahun ini akan membakar semangat seluruh warga kerja MMMSL dan mereka yang terlibat untuk melaksanakan yang lebih baik pada tahun hadapan. Insya-Allah,” ujarnya.

Walau bagaimanapun tambahnya, tempoh paling mencabar adalah pada hari wukuf apabila semua jemaah haji meninggalkan Arafah selepas maghrib untuk pergi ke Muzdalifah sebelum meneruskan pula perjalanan ke Mina menjelang subuh untuk ibadat melontar yang pertama.

“Itu adalah pergerakan yang amat besar dan cukup unik. Baya­ngkan mereka berpusu-pusu menaiki tren untuk bersama-sama dengan kumpulan masing-ma­sing dalam jumlah yang sangat besar.

“Kita perlu memastikan semuanya berjalan dengan lancar,” jelasnya.

Post a Comment

0 Comments