Full Width CSS

UMNO Buat Kerja, MCA Jadi Calon Semata² Di Bandar Tun Razak


Pergerakan Pemuda UMNO Bandar Tun Razak (PPUBTR) tidak terkejut dengan kenyataan balas daripada Timbalan Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong bahawa parti tersebut tidak mahu memberi peluang kepada UMNO bertanding pada kerusi di parlimen ini.

Kajian semula pembahagian kerusi ini adalah berasaskan komposisi pengundi mengikut kaum. PPUBTR mohon pucuk pimpinan Barisan Nasional mengambil kira peratusan pengundi mengikut kaum. Sekiranya kawasan parlimen tersebut melebihi 55% peratus pengundi Melayu, maka kerusi calon tersebut perlu diberikan kepada UMNO.
Perjuangan membawa nama wakil UMNO sebagai calon Pilihanraya Umum (PRU) telah lama diperjuangkan oleh PPUBTR dan ia merupakan usul yang saban tahun diterima daripada peringkat akar umbi sepanjang Persidangan Tahunan UMNO Cawangan seluruh Bandar Tun Razak berlangsung.

Menyedari sekiranya calon UMNO perlu diletakkan sebagai calon Barisan Nasional di Bandar Tun Razak, maka kami telah mula bekerja mendekati pengundi dan membaiki persepsi selepas keputusan PRU 13 diumumkan. Bahkan sehingga ke hari ini, UMNO masih lagi berusaha membaiki kelemahan dan meningkat keyakinan rakyat terhadap kerajaan Persekutuan umumnya.

Pada PRU 13 yang lepas, keputusan menunjukkan bahawa calon MCA sendiri gagal mendapat keyakinan daripada pengundi kaum Cina walaupun calon yang mewakili Barisan Nasional merupakan anak muda dari parti tersebut.

Soal kuota kerusi parti perlu dikekalkan di parlimen-parlimen tertentu kini dirasakan sudah tidak relevan diamalkan. Sekiranya MCA merasakan mereka layak, maka mereka perlu bekerja keras dari awal untuk mencari sokongan. Jangan hanya pandai menumpang majlis dan program anjuran UMNO sahaja.

Dari segi struktur UMNO Bandar Tun Razak mempunyai 79 buah cawangan UMNO aktif dengan keahlian hampir 20,000 orang berbanding MCA.

PPUBTR ingin bertanya, sekiranya MCA benar-benar mahukan kerusi calon di Bandar Tun Razak, berikan 5 alasan UMNO tidak layak bertanding di sini.

PPUBTR tegas dengan ketetapan mahukan calon daripada UMNO mewakili Barisan Nasional bertanding pada PRU akan datang dan berharap kepimpinan parti dapat membuat keputusan yang tepat dalam hal ini.

MOHD AMIR BIN ABD HALIM
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO
Bandar Tun Razak

Post a Comment

0 Comments